KOTA SAMARAHAN: Perbincangan berkaitan laluan kemasukan ke Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) perlu dilihat secara menyeluruh dalam kerangka pendidikan tinggi negara yang berteraskan merit, kapasiti institusi, kesesuaian program pengajian dan keutamaan pembangunan negara, tegas Profesor Dr. Ahmad Hata Rasit.
Naib Canselor Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) itu berkata, pihaknya mengambil maklum perbincangan semasa berkaitan laluan kemasukan ke IPTA dan menyokong prinsip bahawa akses kepada pendidikan tinggi perlu terus dilaksanakan secara inklusif, seimbang serta bertanggungjawab tanpa mengabaikan merit, asas Dasar Pendidikan Kebangsaan, standard akademik serta jaminan kualiti institusi.
“Dalam apa-apa juga laluan kemasukan, akses yang lebih inklusif tidak boleh ditafsir sebagai pengurangan standard akademik atau penghakisan integriti akademik.
“Prinsip merit, kesediaan akademik dan jaminan kualiti juga perlu terus dipelihara,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Tambahnya, universiti awam mempunyai tanggungjawab untuk memperluas akses kepada pendidikan tinggi untuk pelajar yang layak, memperkukuh integrasi nasional, menyokong mobiliti sosial dan menyumbang kepada pembangunan modal insan negara.
Menurutnya, dalam konteks pendidikan tinggi negara, pelaksanaan sesuatu laluan kemasukan juga perlu mengambil kira mandat institusi, kapasiti akademik, bidang pengajian yang ditawarkan serta ketetapan senat universiti masing-masing.
“Tidak semua IPTA menawarkan program, bidang atau pendekatan kemasukan yang sama. Oleh itu, sebarang pelaksanaan berkaitan laluan kemasukan perlu dilihat dalam konteks fungsi, keupayaan dan keputusan akademik universiti masing-masing,” ujarnya.
Dalam konteks Sarawak, beliau memaklumkan aspek ekuiti pendidikan perlu diberi perhatian memandangkan masih terdapat pelajar yang datang daripada latar geografi, sosioekonomi dan pengalaman pendidikan yang berbeza, khususnya melibatkan kawasan luar bandar dan pedalaman.
“Ekuiti dalam pendidikan tinggi melibatkan penyediaan sokongan yang mencukupi bagi membantu pelajar menyesuaikan diri, berkembang dan berjaya dalam sistem pendidikan tinggi,” tegasnya.
Beliau memberitahu, akses lebih luas kepada pendidikan tinggi juga perlu disertai sokongan akademik, pemantauan awal dan persekitaran pembelajaran yang membantu pelajar membina kesediaan serta mengekalkan pencapaian sepanjang tempoh pengajian.
“Perbincangan dasar pendidikan tinggi perlu terus menyeimbangkan aspek inklusiviti, kualiti akademik dan kesiapsiagaan institusi secara menyeluruh dan bertanggungjawab bagi memastikan sistem pendidikan tinggi negara kekal diyakini, berkualiti dan responsif dengan keperluan masa depan negara,” tegasnya.


