Berniaga di bazar Ramadan sememangnya menjadi rebutan peniaga sebagai “lubuk rezeki”.
Malah, penglibatan golongan muda dalam bidang usahawan juga menyumbang kepada lambakan gerai ketika Ramadan.
Bagi kawasan Dewan Bandar Raya Kuching Utara (DBKU), tiga bazar disediakan di bazar Satok, Semarak dan Sukma Ria.
Sejumlah 168 tapak jualan Bazar Ramadan disediakan di tiga lokasi tersebut.
Manakala Majlis Bandar raya Kuching Selatan (MBKS) pula menyediakan 160 tapak jualan melibatkan Pusat Komersial Stutong dan Pasar Komuniti Stutong.
Di bazar Ramadan Satok sahaja menempatkan lebih 90 peniaga makanan, minuman dan panggang di lokasi sama setiap tahun.
Manakala untuk kawasan Kuching dan Samarahan merekodkan sekitar 26 bazar Ramadan didaftarkan di bawah Pihak Berkuata Tempatan (PBT) dan Badan Bukan Kerajaan (NGO).
Jumlah ini tidak termasuk penjaja kedai di tepi jalan.
Lambakan peniaga ini menjadi tanda tanya; adakah bazar Ramadan masih boleh dijadikan sebagai lubuk rezeki?
Baru-baru ini, tular di media sosial tentang situasi salah satu bazar Ramadan “hambar” sehingga ada peniaga terpaksa gulung tikar walaupun baru memasuki minggu kedua Ramadan.
Perkara ini dikatakan kerana berlaku lambakan bazar di sekitar Kuching dengan jarak terlalu hampir atau hanya beberapa kilometer.
Justeru, berlaku persaingan peniaga bazar ditambah peniaga-peniaga di tepi jalan dan secara dalam talian.
Adakah benar faktor lambakan bazar menjadi punca utama?
Atau masih berbalik kepada faktor ekonomi dan kehilangan kuasa boleh beli pengguna?
Sekiranya kita melihat almanak 2023, berlaku pertembungan antara sesi pembukaan persekolahan, Ramadan dan Hari Raya.
Justeru, pengurusan kewangan amat penting untuk memastikan kelangsungan hidup.
Tekanan kos sara hidup mungkin bukan perkara baharu, tetapi pertembungan hari penting yang memerlukan wang dan pendapatan boleh guna tidak meningkat seiring peningkatan kos membuatkan masyarakat semakin “memilih” untuk berbelanja.
LEBIHAN PENAWARAN
Berbalik kepada konsep mikroekonomi permintaan dan penawaran.
Mungkin istilah ini terkenal ketika kempen pilihan raya apabila membincangkan isu harga ayam di pasaran.
Menurut konsep tersebut, persilangan permintaan dan penawaran menentukan harga di pasaran.
Lebihan permintaan mendorong harga meningkat dan lebihan penawaran boleh menjadikan harga barangan turun.
Contohnya, sekiranya terlalu banyak buah durian di pasaran, harga durian cenderung untuk turun dan begitulah sebaliknya.
Mungkin juga kita biasa dengar penganalisis ekonomi berkata; kalau harga ayam mahal, jangan makan ayam.
Maksud ayat tersebut merujuk kepada mengurangkan permintaan terhadap ayam untuk memberi tekanan kepada harga ayam di pasaran atau mungkin maksudnya sekiranya tidak mampu, jangan makan.
Justeru, lambakan bazar juga meningkatkan penawaran sehingga peniaga tidak boleh meningkatkan harga jualan terlalu tinggi disebabkan persaingan walaupun kos semakin meningkat.
Akhirnya, ia terpulang kepada pelanggan memilih dan membeli.
Sebagai pengguna, mereka juga harus memilih pilihan terbaik dari segi jarak bazar dan kuasa beli masing-masing.
Justeru, bazar yang kurang tarikan dari segi promosi atau terlalu jauh mungkin kurang menjadi pilihan untuk dikunjungi.
Mengambil kisah benar daripada kenalan saya sendiri yang enggan didedahkan identiti, anaknya terpaksa gulung tikar berniaga di bazar Ramadan walaupun baru masuk minggu ke dua berniaga.
Hal ini disebabkan pendapatan di bazar tersebut tidak mampu menanggung kos perniagaan harian.
Justeru, dia meminta bayaran balik sewa tapak bazar tersebut dan terpaksa menumpang berniaga di bazar Ramadan lain yang lebih stabil.
SIAPAKAH YANG SALAH?
Saya pun tak tahu pihak manakah yang harus dipersalah. Adakah jualan peniaga gagal menarik perhatian pengunjung atau pihak penganjur gagal melakukan promosi.
Ibu saya sendiri merupakan peniaga di bazar Ramadan Satok mengakui hasil jualan pada tahun ini agak “perlahan” berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Tahun paling laris untuk peniaga Ramadan adalah pada bazar Ramadan 2022 – pembukaan bazar selepas dua tahun tidak beroperasi akibat pandemik Covid-19.
Memasuki minggu ketiga Ramadan, sudilah kiranya anda berkunjung ke bazar Ramadan berhampiran sebagai tanda sokongan terhadap peniaga di bazar tersebut.
Ada antara mereka yang menjadikan bazar Ramadan sebagai sumber pendapatan utama dan ada yang berniaga setahun sekali.
Bagi saya sendiri, bazar Ramadan tahun ini sememangnya kurang mendapat perhatian.
Malah, ada pihak tertentu di media sosial mengada-ada isu jualan di bazar Ramadan sehingga sedikit sebanyak menimbulkan keraguan masyarakat.
Selain faktor ekonomi dan kuasa boleh beli rakyat, lambakan bazar juga dikatakan menimbulkan dilema pembeli.
Malah, dikatakan “aura” bazar Ramadan itu sendiri kurang disebabkan terlalu kerap penganjuran festival makanan dalam tempoh setahun oleh pihak-pihak tertentu.




