Lambakan hutang selepas Covid-19

PANDEMIK Covid-19 yang menular di seluruh dunia termasuk Malaysia menyaksikan banyak orang kehilangan kerja sekali gus mencetus masalah kewangan serta terus dibayangi komitmen hidup dan hutang.

Kajian menunjukkan bahawa 68 peratus rakyat Malaysia masih berhutang dengan kebanyakan hutang itu mencatatkan perbelanjaan sara hidup yang tinggi, bayaran sewa dan pendidikan anak-anak.

Secara definisinya, hutang bermaksud anda meminjam wang untuk satu tempoh masa tertentu dan membayarnya semula jumlah pinjaman berserta faedah.

Kebanyakan daripada kita berhutang melalui pinjaman disebabkan keperluan.

Yang menjadikan hutang itu baik atau lapuk ialah apabila ia memberi kesan yang akan mengganggu hayat kewangan, sama ada kesannya positif atau negatif.

Berdasarkan kaji selidik Universiti Malaya, majoriti rakyat negara ini dibebani hutang kerana perbelanjaan tidak terkawal sehingga dibelenggu kesempitan hidup dengan nisbah hutang isi rumah kepada Keluaran Dalam Negara Kasar cukup tinggi iaitu 80 peratus.

Pengarah Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosial universiti berkenaan Profesor Emeritus Datuk Dr Norma Mansor berkata, kaji selidik selama setahun itu mendapati perbelanjaan melebihi jumlah pendapatan membawa kepada masalah hutang.

Mengikut kerangka kewangan yang dipertingkat, Bank Negara Malaysia menganggarkan peminjam isi rumah yang mungkin menghadapi kesukaran membayar hutang akibat kejutan pendapatan dan pengangguran, tidak mewakili lebih 15 peratus daripada jumlah peminjam.

Menurut BNM, kira-kira 40 peratus daripada kemungkinan tunggakan hutang isi rumah dengan purata pinjaman kepada nilai adalah sebanyak 70 peratus, sekali gus mengehadkan pendedahan kewangan bagi peminjam terbabit serta kerugian bagi sistem perbankan.

Kualiti aset isi rumah juga dijangka sedikit susut pada separuh kedua 2022 dan sepanjang 2021 selepas berakhirnya tempoh moratorium.

Masalah kewangan dan risiko dibebani hutang boleh menimpa sesiapa sahaja jika tidak tahu cara bagaimana menguruskan kewangan secara berhemah.

Namun, melalui pengurusan kewangan yang bijak, pasti membantu kita merancang pendapatan dengan baik.

Hutang memang membebankan semua orang, untuk mengelakkan daripada terus terperangkap dalam perbelanjaan tidak perlu, kita sepatutnya bermula dengan merekod setiap duit keluar dan masuk seperti menyimpan resit, menggunakan aplikasi penyimpanan rekod perbelanjaan dan sebagainya.

Cara ini dapat membantu mengawal perbelanjaan setiap bulan walaupun tidak dapat dinafikan untuk berbelanja mengikut kemampuan dan keperluan – sukar untuk diamalkan.

Seterusnya, elakkan hutang tidak perlu seperti menggunakan kad kredit dan pinjaman peribadi.

Ini kerana kad kredit jika disalah guna akan mengakibatkan komitmen bulanan tinggi, manakala pinjaman peribadi yang kebiasaannya digunakan untuk deposit kereta, pengubahsuaian rumah.

Bagi mereka yang berhadapan kesukaran untuk menyelesaikan bayaran semula pinjaman yang telah ditetapkan, hubungi pemberi pinjaman atau bank kerana bank turut memberi peluang untuk berunding sama ada untuk mengecilkan bayaran bulanan mengikut kemampuan atau melanjutkan tempoh pinjaman.

Cara lain, adalah berjumpa Agensi Kaunseling Dan Pengurusan Kredit (AKPK) yang ditubuhkan oleh Bank Negara Malaysia – perkhidmatan ini adalah percuma.

Agensi itu menawarkan kaunseling nasihat kewangan ke atas pengurusan kewangan dan membantu individu dengan masalah hutang mereka melalui program pengurusan hutang.

Oleh itu, sebelum mengambil sebarang pinjaman atau hutang, kita hendaklah terlebih dahulu mempertimbangkan beberapa faktor penting seperti keperluan, kemampuan membayar balik, komitmen bulanan, faedah yang dikenakan pihak bank serta kesannya dan banyak lagi.

Bukan hanya ketika Covid19, kita sepatutnya sudah bersedia dari dulu sebelum wabak supaya menabung dan berjimat cermat.

Suara Sarawak