BERIKUT kata pembuka kolum bos saya beberapa minggu lalu, “sesiapa yang mengawal dan menguasai masa silam akan menguasai masa depan.
Manakala sesiapa yang menguasai masa kini, menguasai masa silam”.
Kata orang, sejarah ialah cerita para pemenang, kerana kisah masa lalu tidak mungkin neutral dan objektif mutlak.
Maknanya, pihak yang berjaya menentukan tafsiran sejarah akan mempengaruhi cara generasi seterusnya berfikir, bertindak dan membuat keputusan.
Pihak yang berkuasa sekarang boleh mengubah, menonjolkan, atau menenggelamkan kisah-kisah sejarah mengikut agenda mereka.
Sejarah biasanya berpihak kepada pihak yang menang, manakala kisah pihak yang kalah jarang diketengahkan atau mungkin diubah suai.
Kalau dikaitkan dengan semangat patriotik, kata-kata tersebut mengajar kita bahawa patriotisme ialah kesedaran untuk menjaga, mempertahankan dan menyampaikan sejarah sebenar.
Salah satu cara paling mudah, tetapi bermakna adalah dengan mempamerkan bendera sebagai tanda hormat, kesyukuran dan kebanggaan.
Sesungguhnya, dengan mengetahui dan menghayati sejarah kemerdekaan termasuk pengorbanan pejuang, tokoh masyarakat dan rakyat biasa, kita mengangkat naratif perjuangan itu agar ia terus hidup.
Menggantung bendera bukan sekadar hiasan, tetapi simbol bahawa kita mengiktiraf dan mempertahankan warisan yang diwariskan oleh mereka yang telah berjuang.
Sehubungan itu, sebagai rakyat Malaysia, kita harus menguasai naratif positif tentang negara.
Kini, kita boleh memilih untuk menonjolkan sejarah negara sebagai kisah keberanian, perpaduan dan kemajuan.
Dengan mempamerkan bendera, kita menyampaikan mesej visual yang menyatukan rakyat di bawah simbol yang sama, sekali gus membentuk ingatan kolektif yang positif kepada generasi akan datang.
Tetapi seandainya rakyat sendiri tidak mengangkat simbol-simbol kebangsaan seperti bendera, generasi seterusnya mungkin kurang rasa memiliki terhadap sejarah negara.
Menggantung bendera menjadi satu bentuk menguasai masa kini supaya nilai dan kisah perjuangan kemerdekaan tidak dilupakan atau diganti dengan naratif yang melemahkan identiti bangsa.
Ayuh rakyat Malaysia, pacak sekurang-kurangnya satu Jalur Gemilang di rumah masingmasing, seperti dianjurkan kempen Kementerian Komunikasi iaitu “1 Rumah, 1 Jalur Gemilang” sempena sambutan Bulan Kebangsaan sebagai tanda cinta dan semangat patriotik kepada negara.
Lebih molek, gandingkan dengan bendera negeri masing-masing.
Kalau kita di Sarawak, kibarkan Jalur Gemilang dan Ibu Pertiwi.
Harga?
Saya fikir bukan menjadi masalah besar dan tidak sepatutnya dijadikan alasan, kerana saya lihat bendera bersaiz dua kali empat kaki, baru beharga RM3 lebih.
Kalau difahami, pengorbanan kita hari ini sebanyak itu sangat tidak setanding dalam memperjuangkan kemerdekaan suatu masa dulu.
Apa tidaknya, ada pejuang kita yang sanggup menggadai nyawa. Sebab itu, penghayatan terhadap makna Jalur Gemilang sebagai lambang kedaulatan harus dipupuk sejak peringkat awal usia.
Bak kata Pensyarah Program Sejarah Politik dan Strategi dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Suffian Mansor, lagu Negaraku dan bendera kebangsaan merupakan dua lambang kebesaran negara yang melambangkan kedaulatan serta kemerdekaan.
Sehubungan itu, setiap warganegara bukan sahaja perlu menghormati kedua-dua lambang tersebut, malah menghayati maksud dan maknanya dengan mendalam.
Anak-anak perlu dididik dan ditunjuk ajar tentang asal usul kedua-dua lambang tersebut melalui kesedaran sejarah.
Apabila memahami sejarah negara, mereka akan lebih menghargai dan tidak sesekali mempermainkan atau mengabaikan lagu kebangsaan serta bendera negara.
Dan bagi memperluas kesedaran tersebut, peranan media arus perdana amat penting untuk menguar-uarkan maksud dan simbolik yang terkandung dalam bendera dan lagu kebangsaan.
Pelbagai kaedah interaktif boleh dilaksanakan, termasuk pameran, kuiz sejarah atau tayangan dokumentari mengenai sejarah lagu kebangsaan dan bendera.
Nilai-nilai kebangsaan ini juga perlu diterapkan dalam bidang pekerjaan, sama ada di sektor awam, swasta, mahupun bekerja sendiri.
Sesungguhnya, perasaan cinta akan negara adalah asas penting membentuk jati diri rakyat yang setia.
Amalan ini bukan sahaja menyuburkan rasa taat setia kepada negara, malah dapat mengelakkan seseorang daripada terjerumus dalam gejala negatif seperti rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
Kuliah atau bengkel berkala boleh diadakan bagi menerangkan tatacara menaikkan bendera dengan betul, adab menghormati lagu kebangsaan serta pengajaran daripada sejarah perjuangan menuntut kemerdekaan.
Dengan cara ini, semangat patriotisme akan terus subur dalam kalangan rakyat, sekali gus memelihara maruah dan kedaulatan negara. Mengenai isu bendera yang dipasang terbalik, harap tidak akan berulang.
Dan diharapkan ia akan menjadi peringatan kepada semua rakyat Malaysia.
Kalau bukan kita yang memelihara lambang kedaulatan itu, siapa lagi?
Tindakan menggantung bendera secara terbalik adalah salah dari segi tatacara pengibaran bendera negara seperti termaktub dalam Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963.
Ayuh rakyat Malaysia, bersama-sama kita mengibarkan bendera.
Anggaplah ia sebagai rasa penghargaan kita kepada negara bangsa yang kini menjadi negara berdaulat.
Mungkin boleh dicontohi bagaimana negara-negara di dunia menghormati bendera mereka, dan kebiasaannya ia dianggap lambang maruah negara yang mesti dijaga dengan penuh hormat.
Jika peraturan pengibaran bendera Amerika Syarikat, bendera tidak boleh menyentuh tanah, air atau lantai.
Ia dikibarkan dari matahari terbit hingga terbenam atau sepanjang malam jika diterangi.
Tidak boleh digunakan sebagai pakaian atau hiasan pakai buang.
Di Jepun pula, Hinomaru dikibarkan di sekolah, pejabat kerajaan dan majlis rasmi.
Pengibaran diiringi lagu kebangsaan (Kimigayo) dengan semua berdiri memberi hormat.
Di Filipina, upacara hormat bendera diadakan setiap kali bendera dinaik atau diturunkan.
Semua orang mesti berdiri tegak dan meletakkan tangan di dada sambil menyanyikan lagu kebangsaan.
Bahkan terdapat undang-undang melindungi bendera.
Di Jerman, menghina atau merosakkan bendera kebangsaan adalah kesalahan jenayah.
Di Singapura, dilarang mencetak bendera pada barang komersial tanpa kebenaran.
Di Turki, warganya dilarang membuang bendera lama sembarangan, dan ia mesti dibakar dengan hormat.
Tuntasnya, bendera kebangsaan bukan sekadar helaian kain berjalur, berbulan dan berbintang, sebaliknya nadi maruah negara, lambang kedaulatan dan saksi bisu kepada darah, keringat, serta air mata pejuang kemerdekaan.
Memelihara kehormatannya bererti kita menjaga warisan yang diwariskan generasi terdahulu, agar roh perjuangan tidak pudar ditelan zaman.
Setiap kali bendera berkibar megah, ia mengingatkan kita bahawa kemerdekaan ini bukan pemberian, tetapi hasil pengorbanan yang tiada taranya.
Menghormati Jalur Gemilang adalah tanda kesetiaan kepada tanah air, manifestasi perpaduan rakyat berbilang kaum, dan perisai terhadap lupa akan sejarah.
Andai bendera itu kita biarkan tercemar atau dipandang remeh, maka longgarlah simpulan cinta kita kepada negara.
Namun, jika ia kita junjung dan pelihara, maka generasi akan datang akan mewarisi bukan sahaja kemerdekaan, tetapi juga semangat yang menghidupkannya.






