Lampu boya hilang diganti

MIRI: Lampu yang hilang pada boya di muara sungai Kuala Baram di sini telah diganti semula demi menjaga keselamatan para nelayan.

Menteri Pengangkutan Datuk Lee Kim Shin berkata, kerja-kerja penggantian tersebut telah berjaya diselesaikan pada Rabu.

“Kerja penggantian itu berjaya dipasang dalam waktu yang singkat bagi menjaga keselamatan pengangkutan maritim di kawasan tersebut.

“Dengan pemasangan baharu ini, saya memohon kepada semua komuniti perkapalan dan nelayan untuk bersama-sama melindungi kemudahan ini daripada vandalisme untuk kepentingan semua,” katanya dalam satu kenyataan media kelmarin.

Terdahulu, seorang nelayan, Abdul Hamid Hassan berkata, kekurangan cahaya disebabkan lampu pada boya tersebut yang hilang telah mengancam keselamatan nelayan pada waktu malam.

Katanya, mereka berisiko mengalami pelanggaran dengan boya berkenaan ketika memasuki muara sungai.

Selepas itu, Kim Shin memaklumkan bahawa Lembaga Boya dan Api Sarawak (LBAS) akan menggantikan lampu hilang pada boya yang terletak di muara sungai itu.