Langkah proaktif perkasa ekonomi usahawan Bumiputera Tanjung Manis

TANJUNG MANIS: Ledakan pembangunan yang terhasil daripada usaha bersungguh-sungguh Kerajaan Sarawak ternyata memberi kesan positif kepada rakyat terutama golongan usahawan di daerah ini.

Tidak sekadar itu, kerajaan terus melaksanakan langkah proaktif bagi membantu meningkatkan pendapatan usahawan di samping memperluaskan pasaran terutama bagi mereka yang ingin terus maju dalam bidang tersebut.

Sehubungan itu, Persatuan Usahawan dan Penjaja Daerah Tanjung Manis tampil dengan inisiatif menganjurkan sesi taklimat khas Usahawan Bumiputera Daerah Tanjung Manis, di sini, semalam.

Program disertai seramai 80 orang peserta terdiri dalam kalangan peniaga kecil dari sekitar daerah ini.

Pengerusi Persatuan Usahawan dan Penjaja Daerah Tanjung Manis, Persi Saperi berkata, program bertujuan mendedahkan peranan agensi tertentu dalam meningkatkan ekonomi rakyat melalui bidang keusahawanan.

Peserta mengabadikan kenangan beramai-ramai sejurus selesai program.

Secara tidak langsung katanya, program juga melengkapkan peserta dengan kemahiran untuk memulakan perniagaan sekali gus memperkasakan ekonomi masing-masing.

“Kita mendapat respon yang begitu mengalakkan daripada usahawan daerah ini.

“Kami ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar yang juga ADUN N.41 Kuala Rajang, Datu Len Talif Salleh menyokong penuh penganjuran program ini. Terima kasih atas sumbangan dana yang dihulurkan,” katanya kepada Wartawan Suara Sarawak.

Sehubungan itu beliau berharap program tersebut terus dipertingkatkan dengan memperluaskannya dalam pelbagai bidang.

Penyertaan usahawan dalam program itu katanya, merupakan kesempatan terbaik kepada mereka untuk mengetahui peluang perniagaan yang boleh dikembangkan.

“Melalui program ini, kita juga lebih memahami peranan agensi kerajaaan terhadap masyarakat usahawan di daerah Tanjung Manis. Penjelasan berkaitan konsep yang bersepadu dalam membantu memajukan ekonomi bumiputera amat jelas dengan adanya program seperti ini.

“Kami kini menyedari peranan agensi kerajaan dalam membantu meningkatkan Bumiputera selama ini. Kejayaan penganjuran ini turut dibantu Majlis Daerah Matu dan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC),” tambahnya.

Antara peserta yang mengambil bahagian.

 

Penyampaian cenderamata kepada penceramah