ARTIKEL

Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki

Lantikan baharu berasaskan caruman bermula tahun ini

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Bermula tahun ini, semua lantikan baharu penjawat awam Sarawak adalah di bawah Jawatan Berasaskan Caruman (JBC) dan tidak berpencen.

Bagaimanapun, semua penjawat awam JBC ini lantikan berstatus tetap dan turut menerima semua kemudahan seperti mereka dalam skim persaraan termasuk dari sudut perubatan percuma, kenaikan pangkat serta banyak lagi.

Menyifatkan ia sebagai langkah strategik memodenkan sektor perkhidmatan awam, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, kesemua lantikan baharu ini akan membuat caruman menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Sebenarnya kita sudah melaksanakan skim pilihan JBC dan berpencen sejak beberapa tahun lalu.

Tetapi sekarang bermula pada tahun ini, semua pengambilan baharu penjawat awam Kerajaan Sarawak adalah berstatus JBC.

“Tetapi harus diingatkan bahawa lantikan JBC ini juga berstatus tetap dan mereka juga menikmati semua kelebihan yang dinikmati oleh penjawat awam skim pencen termasuk perubatan, pinjaman perumahan dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat Suara Sarawak dan New Sarawak, diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Eksekutif Rohana Wahed dan Ketua Editor New Sarawak Tribune Aden Nagrace,di Wisma Bapa di sini semalam.

Mengulas lanjut ujarnya, penjawat awam sedia ada yang berstatus pencen adalah tidak terjejas dengan dasar tersebut.

Beliau menegaskan, dasar skim JBC mempunyai lebih banyak kelebihan dan manfaat kerana ia lebih fleksibel kerana penjawat awam itu boleh memilih bertukar ke sektor swasta pada bila-bila masa.

Tambahnya, skim berpencen juga kadangkala meletakkan seseorang dalam situasi yang sukar, terutamanya apabila mereka mendapat tawaran yang lebih baik daripada sektor korporat.

“Mereka perlu mengorbankan skim pencen jika ingin berpindah ke korporat untuk kerjaya yang lebih baik.

“Sebagai contoh, sekiranya penjawat awam kita ditawarkan oleh swasta dengan gaji yang lebih lumayan dan memilih bertukar kerjaya, mereka boleh dan bebas pergi ke sana tanpa berdepan risiko kehilangan skim pencen.

“Dalam masa sama, kakitangan swasta juga boleh memasuki perkhidmatan awam kerana kita boleh menyerap mereka ini melalui skim JBC.

“Ini sekali gus membantu meningkatkan kualiti perkhidmatan Kerajaan Sarawak kerana menggalakkan penyertaan lebih ramai generasi muda dan perkara ini sedang kita laksanakan sekarang,” tegasnya.

Sementara ditanya, ia bakal memberi kesan terhadap bilangan kakitangan dan mengurangkan minat rakyat untuk menyertai sektor perkhidmatan awam, beliau menegaskan ia tidak berlaku.

“Skim ini sebenarnya selari dengan situasi semasa kerana kita boleh lihat generasi sekarang lebih gemar melompat dan berpindah kerjaya dari satu agensi ke agensi yang lain.

“Saya tidak rasa ia akan mengurangkan minat kerana sistemnya lebih fleksibel dan pelaksanaan skim ini tidak akan merugikan mereka,” jelasnya.

Tambahnya, ia salah satu tumpuan perkhidmatan awam Kerajaan Sarawak ketika ini untuk terus kekal relevan dalam persekitaran dunia yang sentiasa berubah.

“Kita perlu mengakui, ia sebagai trend sekarang generasi muda tidak mahu kekal dalam kerjaya yang sama sehingga mereka bersara.

Jadi penting untuk kita melakukan perkara yang sesuai dengan keadaan semasa dan bukannya apa yang telah dilaksanakan berpuluh tahun lalu.

“Saya percaya skim JBC akan menarik ramai bakat muda dari pelbagai kaum dan latar belakang untuk menyertai perkhidmatan awam negeri,” jelasnya.

Dalam pada itu ujarnya, JBC itu juga dilaksanakan bagi mengisi beberapa jawatan yang tidak diluluskan oleh JPA sejak beberapa tahun lalu.

“Kita menghadapi had dalam mengisi atau mewujudkan jawatan dalam perkhidmatan awam negeri kerana sebarang kekosongan atau jawatan tertakluk kepada kelulusan JPA.” katanaya.

Mengenai rancangan penambahbaikan skim gaji penjawat awam negeri, beliau berkata Kerajaan Sarawak kini sedang mengkaji perkara itu.

“Kita tunggu kerajaan persekutuan mengumumkan dahulu (untuk penjawat awam persekutuan) sebelum memuktamadkan skim gaji penjawat awam negeri kita,” katanya.

Untuk rekod pada 8 Mac, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kajian semula Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), yang membabitkan skim gaji baharu perkhidmatan awam, sedang di peringkat akhir.

Beliau telah menyatakan bahawa kemaskini SSPA yang telah lama ditunggu-tunggu dijangka diumumkan sebelum akhir tahun, berikutan tempoh sedekad gaji tidak stabil bagi kakitangan awam.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Jalai Balingian–Sungai Anak patut diadu manah

KUCHING: Pengawa ngintu, ngadu sereta nangkir Jalai Perintah Besai Balingian–Sungai Anak ti nyambung rentayan Jalai Besai Pan Borneo begunaka perati dikena nambahka pengelikun enggau pejalai