KUCHING: Sarawak mencatatkan lapan kes positif baharu Covid-19, yang menjadikan jumlah keseluruhan kes meningkat sebanyak 1,019, setakat hari ini.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah berkata, kesemua kes terbabit masing-masing melibatkan tujuh di daerah Kuching dan satu di Lawas.
Menurutnya, tiga daripada tujuh kes di daerah Kuching merupakan kontak rapat bagi kes positif di dalam Kluster Greenhill manakala dua lagi merupakan kontak rapat di dalam Kluster Wisma Saberkas.
Bagi kes positif di Lawas, ia membabitkan seorang lelaki warganegara tempatan yang telah menjalani saringan Covid-19 kerana baru pulang dari Sabah pada 7 November lalu.
“Dimaklumkan juga bahawa 22 kes baharu yang telah pulih dan dibenarkan discaj dari hospital pada hari ini yang melibatkan 16 kes dari Hospital Umum Sarawak dan enam kes dari Hospital Miri.
“Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 yang telah pulih dan dibenarkan discaj setakat hari ini adalah kekal seramai 882 orang atau 86.56 peratus,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media laporan harian Covid-19 di Dun Baru, di sini hari ini.
Selain itu, Uggah juga menjelaskan bahawa tiada kes Covid-19 yang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) pada hari ini diikuti tiada kes kematian baharu dilaporkan.
“Ini menjadikan jumlah kematian adalah kekal seramai 19 orang atau 1.86 peratus diikuti 13 PUI baru telah dilaporkan dan tiga PUI yang masih
menunggu keputusan ujian makmal,” katanya lagi.
Beliau yang merupakan pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak turut mendedahkan bahawa semua taska dan tadika di Zon Merah akan ditutup dan tidak digalakkan untuk beroperasi pada tempoh ini.


