BINTULU: Lapan buah rumah setinggan berstruktur tidak kekal musnah sepenuhnya dalam kebakaran berhampiran tapak pelupusan sampah Kidurong, Isnin petang.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak dalam kenyataannya berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.06 petang.
Menurutnya, sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kidurong segera dikejarkan ke lokasi sebelum mendapat bantuan daripada BBP Bintulu.

“Setibanya di lokasi, didapati lapan buah rumah tidak kekal terbakar 100 peratus,” katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, pasukan bomba bertindak menjalankan pemadaman menggunakan satu aliran sepanjang 300 kaki dengan dua pancutan pam jentera serta sumber tambahan dari sebuah tangki air.
“Kebakaran melibatkan lapan buah keluarga, namun tiada mangsa dilaporkan cedera kerana kebanyakan penghuni rumah sedang bekerja di tapak pelupusan sampah berhampiran ketika kejadian berlaku.
“Daripada lapan keluarga, tujuh daripadanya memberi kerjasama penuh kepada pasukan bomba, manakala sebuah keluarga lagi didapati tidak berada di lokasi ketika kebakaran,” jelas kenyataan itu.
Api berjaya dikawal pada jam 3.00 petang dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.25 petang.
Punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.



