Laporan tidak lengkap menyebabkan operasi carilamat penyelam yang hilang terjejas

KUCHING: Maritim Sarawak segera mengaktifkan operasi pencarian Chong Su Sian, sebaik sahaja menerima laporan mengenai kehilangan wanita itu pada malam 17 April lalu berhampiran perairan Pulau Satang Besar, kata Timbalan Pengarah Operasi Maritim Sarawak Kapten Yousry Yaali.

Menurutnya, selepas menerima laporan, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kuching dengan serta merta terus mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (carilamat) dan Bot Pengawal 6 yang sedang dalam tugasan operasi sejak pagi 15 April telah diatur gerak ke lokasi kejadian.

“Namun pada waktu tersebut lokasi kejadian secara terperinci tidak diperolehi dari pengadu.

“Bagi mendapatkan pengesahan lanjut, MRSC Kuching telah menghubungi pengadu untuk mendapatkan lokasi kejadian secara tepat bagi memudahkan operasi carilamat dilaksanakan, namun lokasi kejadian yang tepat masih tidak dapat disahkan sehingga laporan polis diterima pada pagi Ahad, 18 April,” katanya pada sidang media di Jeti Telaga Air, hari ini.

Menjelas lanjut, beliau berkata operasi carilamat oleh Bot Pengawal 6 pada 17 April tidak dapat dilaksanakan secara berkesan disebabkan jarak penglihatan yang terhad pada waktu malam.

“Maklumat lokasi kejadian yang tidak lengkap serta terdapat kebarangkalian pergerakan bot akan mendatangkan bahaya dan memudaratkan kepada mangsa sekiranya mangsa berada di permukaan air,” katanya.

Yousry menambah pada masa sama, MRSC Kuching juga telah menyalurkan maklumat mengenai kejadian dan pengaktifan carilamat kepada agensi-agensi lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Polis Marin (PPM), Pasukan Gerakan Udara (PGU) PDRM, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan lain-lain agensi untuk turut serta dalam operasi tersebut.

Katanya pada pagi 18 April, MRSC Kuching melalui pangkalan hadapan carilamat di Jeti Telaga Air telah menerima maklumat lokasi kejadian yang lebih terperinci melalui satu laporan polis yang di buat oleh seorang pengadu lain (James Chung Ung Kiong, 31 tahun).

Justeru, katanya dakwaan abang mangsa bahawa tiada tindakan daripada Maritim untuk menyelamatkan adiknya adalah tidak benar.

Yousry berkata aduan kejadian telah diterima oleh MRSC Kuching pada jam 8 malam, 17 April lalu melalui panggilan kecemasan MERS 999 yang dilaporkan oleh MRCC Putrajaya dan maklumat yang sama turut diterima daripada pusat gerakan operasi bomba Sarawak melalui aduan oleh abang mangsa, Chong Sze Hua.

“Abang mangsa, Chong Sze Hua atau Brandon Chong, 36, mendakwa telah cuba menghubungi Maritim Sarawak pada hari kejadian untuk melaporkan kejadian serta mendapatkan bantuan, namun panggilannya tidak berjawab.

“Sukacita saya jelaskan bahawa talian yang dihubunginya itu bukannya talian kecemasan 24 jam iaitu 082-432544 (pusat operasi Maritim Sarawak) atau MERS 999,” katanya.

Su Sian dilaporkan hilang pada 17 April lalu di sekitar 23 batu nautika dari perairan Pulau Satang Besar ketika melakukan aktiviti menyelam bersama lima rakannya.

Mangsa disyaki hilang selepas hampir sejam setengah tidak muncul di permukaan air selepas melakukan selaman bersendirian.

Suara Sarawak