ASAJAYA: Gergasi serba mantap, Latif FC menepati ramalan muncul juara Kejohanan Bola Sepak Piala Perpaduan ADUN N.15 Asajaya, Datuk Sri Haji Abdul Karim Rahman Hamzah Edisi Ke-58 2026, menumpaskan Camutez FC (3-0) pada aksi final berlangsung sebentar tadi.
Trio berpengalaman luas, Mohd. Hafis Abu Bakar, Mohd. Adib Salim dan Izray Iffarul Roslan muncul wira Latif FC, masing-masing menyumbat gol minit ke-25, 52 dan 60.
Kejayaan itu membolehkan kem kendalian Mohd. Abdul Latif itu membawa pulang wang tunai RM7,000, piala pusingan, piala iringan, pingat beserta baucer barangan sukan tajaan Lea Sports Centre (LSC) .
Selaku naib juara, Camutez FC menerima wang tunai RM5,000 beserta piala, pingat dan baucer barangan sukan tajaan LSC.
Dalam pada itu, Abang Mohd. Haiqal Abang Za’afari dari Latif FC dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan akhir – membawa piala dan baucer barangan sukan tajaan LSC.
Bintang penyerang Tarang FC, Mohd. Hadera Bakeri muncul penjaring terbanyak kejohanan dengan 5 gol, membawa pulang piala, baucer barangan sukan tajaan LSC.
Pasukan Kuak FC dan KBSB 1 yang tewas diperingkat separuh akhir semalam menduduki tempat ketiga bersama secara automatik membawa pulang wang tunai RM3,000, piala, pingat beserta baucer barangan sukan tajaan LSC.
Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED), Datuk Sri Haji Abdul Karim Rahman Hamzah yang juga ADUN Asajaya.
Hadir sama pada majlis tersebut Penaung Kelab Bola Sepak Sambir Bistari (KBSB), Datuk Abdullah Julaihi, Pengarah Urusan Lea Holding (M) Sdn. Bhd., Raymond Sim Hee Pang serta ketua-ketua jabatan kerajaan.






