Latih selesaikan isu kecil

KUCHING: Belia harus berdiri dan bersuara untuk sebarang masalah atau keperluan mereka kepada wakil rakyat serta menteri yang bertanggungjawab, kata Adun Tupong Fazzrudin Abdul Rahman.

Menurutnya, belia yang mengutarakan pandangan melalui persatuan masing-masing akan berjuang untuk perkara kecil sebelum dilatih menyelesaikan isu lebih besar.

“Pada awalnya saya tidak menyedari terlibat dalam bidang politik walaupun mulanya ambil sikap tidak peduli.

“Bagaimanapun, saya seronok memasuki bidang politik yang bermula dengan memberi latihan kepada belia,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai salah seorang panel pada program bual bicara mengenai landskap politik Sarawak dari sudut pandangan anak muda melalui Facebook Live Borneo Channel di sini malam semalam.

Tambah Fazzrudin, kerajaan perlu membentuk polisi yang menyeluruh dan memberi manfaat kepada belia agar hasratnya tercapai.

“Sebagai contoh, dasar kerajaan untuk menuju ke arah negeri berpendapatan tinggi menjelang 2030.

“Kita harus mendidik anak muda dengan latihan atau teknologi terkini dalam mencapai status negeri maju dalam tempoh masa yang ditetapkan,” jelasnya.

Seorang lagi panel program terbabit iaitu Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii memberitahu, belia harus menjauhkan diri daripada politik toksik tetapi menceburi politik secara asas.

“Secara dasarnya, keputusan yang kita buat setiap hari adalah berkaitan dengan politik dan saya percaya dengan potensi anak muda.

“Anak muda sepatutnya memberi input kepada kerajaan dalam bentuk sebarang polisi,” ujarnya.

Katanya, terdapat dua perkara yang harus diberi perhatian dalam pembangunan holistik iaitu di peringkat akar umbi dan polisi kerajaan.

“Sebagai contoh, saya pernah menyertai misi ke sebuah perkampungan di Filipina selepas taufan melanda.

“Terdapat sebuah kampung yang terjejas teruk akibat taufan terbabit tidak mempunyai sebarang akses kepada perubatan meskipun seminggu selepas bencana berkenaan,” katanya.

Ujarnya, perspektif beliau mengenai politik berubah ketika itu kerana percaya pembuat dasar amat penting seiring dengan suara akar umbi agar pembangunan menyeluruh dapat dilaksanakan.