LAWAS: Daerah Lawas dan Limbang tidak lagi terpencil apabila projek jajaran Rangkaian Jalan SarawakSabah (SSLR) sepanjang 77 kilometer (km) bernilai RM1.13 bilion siap sepenuhnya.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, jalan yang merupakan sebahagian daripada jajaran Lebuh Raya Pan Borneo (LPB) itu juga akan membantu meningkatkan perhubungan serta ekonomi kawasan tersebut.
“Sementara di peringkat kerajaan negeri menerusi Agensi Pembangunan Utara Sarawak (NRDA), kita membina jalan pesisir yang bukan sahaja menghubungkan Limbang dan Lawas tetapi juga Marudi ke Mulu.
“Bermakna apabila seluruh kawasan ini siap dihubungkan, kita akan menghubungkan ke Ba’kelalan dan seterusnya mungkin ke Bario. Semua jalan ini akan dihubungkan ke LPB.
“Inilah sasaran kita menjelang 2026, semua kawasan di negeri ini akan dihubungkan dengan jalan raya,” katanya. Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Projek Membina Rangkaian Jalan Sarawak-Sabah (Lawas – Persimpangan Long Lopeng) di sini, pada Sabtu.
Mengulas lanjut katanya, kerajaan negeri juga komited menyediakan bekalan elektrik termasuk air bersih menerusi grid air yang dijangka siap dalam tempoh beberapa tahun lagi bernilai RM700 juta.
“Apabila semua ini siap kelak, ia akan menjadi game changer bagi kawasan utara Sarawak kerana menjadi hasrat kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menjadikan negeri maju dan rakyat berpendapatan tinggi menerusi peningkatan kegiatan ekonomi.
“Malah banyak pelabur berminat untuk melabur di Lawas dan Limbang kerana ia merupakan kawasan yang strategik yang mempunyai pelabuhan termasuk lapangan terbang baharu yang akan siap kelak.
“Seterusnya, ia juga dapat membangunkan sektor pelancongan serta pertanian yang mempunyai potensi tinggi di sini,” ujarnya.
Tegasnya, semua usaha pembangunan di kawasan utara tersebut telah dirancang dengan teliti bagi meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk tempatan dan seterusnya dapat dikongsikan dengan Sabah.
Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof, dan barisan kabinet yang lain.





