KUCHING: Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) menyambut baik lawatan penanda aras integriti oleh Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (MUT) yang bertujuan mendapatkan pendedahan serta menilai dan mempelajari amalan terbaik PUSAKA dalam pengurusan integriti, pentadbiran dan antirasuah organisasi.
Lawatan tersebut memberi pendedahan mendalam kepada pegawai MUT mengenai keberhasilan PUSAKA dalam Anugerah Integriti, Governans dan Antirasuah (AIGA) yang dijadikan penanda aras untuk memperkukuh sistem integriti organisasi.
Pada masa sama, delegasi MUT turut menilai amalan terbaik PUSAKA dalam membina budaya integriti dan sistem kawalan dalaman yang kukuh.
Ketua Bahagian Khidmat Pengurusan, MUT, Raduan Bujet berkata lawatan tersebut merupakan inisiatif strategik untuk mendapatkan pengetahuan dan pendedahan mengenai pelaksanaan AIGA.

“Perkongsian amalan terbaik PUSAKA diharapkan memperkukuh kefahaman dan keupayaan kementerian dalam mengukuhkan integriti organisasi secara menyeluruh,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Sementara, Penolong Pengurus Besar Kanan Pentadbiran PUSAKA, Suraya Mohamad Ali menegaskan bahawa integriti mesti diperkukuh secara berterusan melalui penambahbaikan yang konsisten.
“Perkongsian pengetahuan sedemikian bukan sahaja mengukuhkan organisasi kami, tetapi juga memupuk budaya integriti kolektif dalam sektor awam,” ujarnya.
Melalui sesi perkongsian tersebut, kedua-dua pihak berpeluang bertukar pandangan dan pengalaman dalam memperkukuh budaya integriti, meningkatkan kecekapan
pengurusan serta memperkukuh sistem kawalan dalaman organisasi.
PUSAKA juga mengalu-alukan inisiatif kerjasama ini dan berharap perkongsian amalan terbaik dapat memberi manfaat kepada kedua-dua organisasi dalam usaha
memperkukuh tadbir urus berintegriti dan berakauntabiliti.



