KUCHING: Keluarga penghuni penjara di Sarawak dibenarkan mengadakan lawatan khas sempena perayaan Hari Gawai di semua institusi penjara negeri pada 5 dan 6 Jun 2026.
Jabatan Penjara Malaysia dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, lawatan khas itu turut diadakan sempena Pesta Kaamatan di Sabah dan Hari Raya Aidiladha, melibatkan semua institusi termasuk Pusat Pemulihan Akhlak, Pusat Pemulihan Khas, Tempat Tahanan Khas dan Sekolah Henry Gurney.
“Tarikh lawatan Hari Gawai di Sarawak ditetapkan pada 5 dan 6 Jun, manakala lawatan sempena Pesta Kaamatan di Sabah pula diadakan pada 4 dan 5 Jun.
“Bagi sambutan Hari Raya Aidiladha, lawatan khas ditetapkan pada hari raya ketiga dan keempat iaitu pada 29 dan 30 Mei 2026.
“Waktu lawatan bermula dari jam 8.15 pagi hingga 4.15 petang,” menurut kenyataan itu.
Bagi syarat lawatan dan perjumpaan khas, pelawat diminta membawa kad pengenalan serta kad lawatan untuk memudahkan urusan.
“Pelawat tidak dibenarkan membawa makanan dan minuman kepada penghuni, namun makanan dan minuman boleh dibeli dari kantin penjara.
“Bagi pelawat Hari Raya Aidiladha, makanan dan minuman boleh dibeli dari kantin penjara serta keutamaan lawatan diberikan kepada penghuni beragama Islam sahaja,” jelas kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu lagi, pelawat juga tidak digalakkan memberikan wang kepada penghuni kerana semua kemudahan asas telah disediakan oleh Jabatan Penjara.
“Sekiranya pelawat ingin memberi wang kepada penghuni atas urusan tertentu seperti bayaran yuran peperiksaan dan sebagainya, sila dapatkan resit rasmi PPT.28 sebagai akuan penerimaan,” katanya.
Selain itu, pelawat tertakluk kepada Akta dan Peraturan Penjara yang membolehkan pihak penjara membuat pemeriksaan fizikal ketika masuk dan keluar dari institusi berkenaan.
Sementara itu, bagi keluarga yang tidak dapat hadir secara bersemuka, perjumpaan secara dalam talian sempena Hari Gawai dan Pesta Kaamatan akan dilaksanakan selama tiga hari bermula 7 hingga 9 Jun 2026.
“Bagi perjumpaan secara dalam talian sempena Aidiladha pula, ia akan dilaksanakan pada 30 Mei, 31 Mei dan 1 Jun 2026,” menurut kenyataan itu.
Orang ramai yang ingin mendapatkan keterangan lanjut boleh menghubungi institusi penjara berkaitan.


