KUCHING: Lebih 1,000 lokasi cerun di seluruh negara dikenal pasti agak mudah runtuh ketika ini, kata Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Justeru, beliau berkata alat untuk memantau pergerakan tanah telah dipasang di cerun-cerun yang berisiko tinggi runtuh itu.
Sehubungan itu, Nanta berkata kementeriannya sedang dalam usaha melanjutkan lagi dasar cerun negara yang sudah tamat tempoh pada tahun lepas, selepas 20 tahun dilaksanakan.
“Sekarang kita mahu panjangkan lagi dasar itu, mungkin dari 2024 hingga 2030 atau 2035,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Mengenang Negarawan Tun Datuk Patinggi Temenggong Jugah anak Barieng ‘Negarawan Terbilang’ yang disempurnakan oleh Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas di sini, hari ini.
Nanta, yang juga cucu Tun Jugah, menegaskan bahawa dasar cerun negara sangat penting bagi menangani kejadian tanah runtuh yang sering kali berlaku di negara ini.
“Sebab itu, kita mesti ada satu dasar ke atas cerun, kita tidak mengambil ringan, kita memang mengambil berat.
“Perkara ini sangat penting, sebab kesannya (tanah runtuh) bukan sahaja merugikan dengan menyebabkan harta benda musnah tetapi juga boleh mengakibatkan kehilangan nyawa,” katanya.
Sementara itu, tentang isu tanah jerlus, beliau berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) sentiasa memantau, selain membantu pihak berkaitan dari segi teknikal dan kepakaran.
“Sebab itu kita dapati ada beberapa lokasi mungkin mudah terjadi masalah itu.
“Jadi untuk mengambil langkah yang lebih proaktif, kita pantau dengan lebih rapi tapi kita sekarang lebih kepada reaktif.
“Apabila ia berlaku, kita buat rawatan atau pun buat apa-apa tindakan yang sepatutnya supaya menyelamatkan keadaan,” katanya.


