LUNDU: Lebih 1,000 pengunjung menghadiri Program Pelan Strategik MINDEF anjuran Markas Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat (MK PMTTD) dan Agensi Kerajaan Sarawak di Sekolah Kebangsaan Biawak di sini, hari ini.
Dirasmikan oleh Panglima Medan Timur Tentera Darat (PMT TD), Leftenan Jeneral Datuk Mohd Sofi Mohd Lepi, program itu juga menyasarkan objektif memperkasakan peranan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terhadap masyarakat tempatan.
Ia berteraskan pendidikan keagamaan dan khidmat komuniti, memperluas sinergi mahabbah antara ATM dengan komuniti setempat, dan seterusnya membina persepsi positif kepada ATM dengan menjalinkan hubungan baik bersama komuniti setempat.
Berteraskan kerjasama awam dengan tentera, program ini juga mempersembahkan demonstrasi keupayaan TDM menerusi persembahan Tempur Tanpa Senjata (TTS), Persembahan Tambor, Pameran Senjata, Promosi Pengambilan Askar Wataniah (AW), Pemeriksaan Kesihatan dan Pergigian secara percuma, senamrobik bersama para pengunjung serta acara sukaneka.

Usaha ini merupakan terjemahan kepada aspirasi Kertas Putih Pertahanan (KPP) dan Pelan Strategik MINDEF (PSM) 2021-2025 yang menggariskan keselamatan negara tanggungjawab bersama melibatkan semua lapisan masyarakat dan agensi kerajaan.
Penganjuran ini dirancang bukan sahaja untuk memperkukuhkan hubungan antara ATM dengan komuniti awam, malah menjadi platform untuk berkongsi ilmu, mempamerkan inovasi pertahanan serta menggalakkan penyertaan aktif masyarakat dalam agenda keselamatan negara.
Acara ini menjadi manifestasi komitmen serta usaha bersepadu antara Kerajaan Sarawak, agensi pertahanan, agensi persekutuan atau negeri dengan masyarakat untuk memupuk semangat kebersamaan, kerjasama awam-tentera dan integrasi yang padu demi kesejahteraan dan keselamatan negara.
Program ini merupakan sebahagian daripada Program Jiwa Murni yang telah dirancang dan akan dilaksanakan dari semasa ke semasa untuk merapatkan hubungan antara rakyat dan ATM.
Program ini mendukung Teras Keempat Perintah Ulung Panglima Tentera Darat ke-30, iaitu ‘Gagasan Tentera dan Rakyat’.





