KUCHING: Lebih daripada 1,200 lampu jalan dipasang di seluruh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Kitang sejak 2016 sebagai usaha untuk meningkatkan tahap keselamatan, terutamanya di lorong belakang yang gelap dan kawasan perumahan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Datuk Lo Khere Chiang berkata isu keselamatan kekal sebagai antara keraguan yang kerap dibangkitkan oleh penduduk di kawasan DUN tersebut.
Beliau memberitahu permohonan untuk pemasangan lampu jalan semakin berkurangan berbanding tahun-tahun sebelumnya, walaupun terdapat beberapa permohonan yang masih diterima.
“Setakat ini, saya memasang lebih 1,200 lampu jalan sejak saya mula memegang jawatan pada 2016, terutamanya di lorong-lorong belakang dan kawasan perumahan.
“Dahulu ada lorong belakang yang sangat gelap.
Keselamatan merupakan satu isu kebimbangan, jadi saya telah memasang lampu jalan di lorong belakang apabila ada permintaan.
“Kami akan terus melaksanakannya pada setiap tahun.
Saya akan memperuntukkan dana bagi semua kemudahan infrastruktur ini,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media berhubung program Dialog Penglibatan Komuniti dan Kejiranan Mesra di Pusat Khidmat DUN Batu Kitang di sini, hari ini.
Selain lampu jalan, beliau turut memaklumkan bahawa enam kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di sepanjang Jalan Arang dan sebuah lagi di kawasan Batu 3.
Beliau menambah bahawa lebih banyak CCTV akan dipasang di seluruh Sarawak oleh Lembaga Multimedia Sarawak (SMA).
Dalam pada itu, Khere Chiang menggesa para penduduk untuk memanfaatkan sesi dialog yang akan datang bagi menyuarakan isu keselamatan, lalu lintas, perparitan, infrastruktur serta masalah-masalah lain di kejiranan mereka.
Program tersebut akan diadakan di Choon Foh Kopitiam, Capital Garden, pada 10 pagi, Sabtu ini.
Wakil-wakil daripada Majlis Perbandaran Padawan (MPP), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Sarawak Water Sdn Bhd telah dijemput untuk hadir.
Khere Chiang menegaskan bahawa semua isu yang dibangkitkan semasa dialog itu akan direkodkan dan dimajukan kepada agensi-agensi berkenaan untuk tindakan susulan.






