PUSA: Peningkatan mendadak jumlah kemasukan pelajar ke Politeknik Kuching tahun ini menyebabkan institusi tersebut terpaksa membuka semula beberapa bilik asrama yang sebelum ini tidak digunakan kerana kurang kondusif.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr. Annuar Rapaee berkata, situasi ini berlaku susulan peningkatan ketara jumlah pelajar baharu yang ditawarkan kemasukan ke politeknik berkenaan.
Menurut beliau, isu kemudahan asrama yang tular di media sosial sehingga mengundang pelbagai kritikan daripada warganet perlu dilihat secara objektif, tanpa menyalahkan atau mempertahankan mana-mana pihak.
“Saya tidak menyokong atau mempertahankan mana-mana pihak, dan pada masa yang sama tidak mahu menuding jari kepada sesiapa dalam isu ini.
“Kemudahan seperti tilam, katil serta keadaan beberapa blok asrama sememangnya tidak kondusif dan memerlukan perhatian segera,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Memperkasakan Ilmu: Jangkauan Luar MLNG Bestari di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pusa, hari ini.
Mengulas lanjut, Annuar berkata beliau bersama-sama Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD), Datuk Adana Jed, mengadakan lawatan ke Politeknik Kuching pada petang Isnin bagi mendapatkan penjelasan berhubung isu berkenaan.
Katanya, pihak pengurusan politeknik memaklumkan jumlah pelajar baharu yang diterima pada tahun ini meningkat kepada kira-kira 1,600 orang berbanding kebiasaan sekitar 1,200 orang.
Beliau turut memaklumkan lebih 40 bilik asrama di Politeknik Kuching dikenal pasti tidak sesuai didiami kerana berada dalam keadaan tidak selamat serta memerlukan kerja-kerja naik taraf.
Sehubungan itu, beliau merakamkan penghargaan kepada pihak media dan orang ramai yang membangkitkan isu tersebut, sekali gus membantu menarik perhatian pihak berkaitan.
“Kemudahan dan kelengkapan di Politeknik Kuching sememangnya memerlukan pembaharuan serta penambahbaikan dalam kadar segera,” katanya.
Dr. Annuar berkata beliau menerima surat rasmi daripada pihak Politeknik Kuching pada pagi tadi berhubung keperluan penambahbaikan kemudahan institusi tersebut.
Menurutnya, kementerian akan segera memanjangkan permohonan tersebut kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi mendapatkan tindakan lanjut.



