BANGKOK: Kerajaan berharap mendapat kebenaran lebih banyak penerbangan daripada lebih 10 negara untuk membawa pulang rakyatnya dari Israel dalam masa dua hari dan bukannya 10 hari seperti yang dijangkakan pada awalnya, kata Perdana Menteri, Srettha Thavisin pada Ahad, lapor Bangkok Post.
Dengan sekurang-kurangnya 7,000 pekerja dianggarkan menyatakan hasrat untuk meninggalkan zon perang, Thailand sedang berusaha untuk membawa pulang lebih ramai rakyatnya dari Israel berbanding hampir mana-mana negara lain di dunia.
Dilaporkan sekitar 24 negara cuba menghantar pulang warganegara mereka dari Israel menggunakan pesawat tentera dan syarikat penerbangan komersial, dengan pelbagai tahap kejayaan.
Sekurang-kurangnya dua negara membatalkan beberapa penerbangan penghantaran pulang pada hujung minggu, mengatakan persediaan Israel untuk serangan darat ke atas Gaza meningkatkan risiko bagi syarikat penerbangan yang beroperasi di kawasan itu.
Srettha berkata, beliau berharap untuk mendengar lebih banyak maklumat terkini berkaitan operasi pemindahan apabila beliau bertemu dengan Kementerian Luar Negeri (MFA) pada Ahad.
Sementara itu, Kementerian Kesihatan Awam berkata, daripada 56 rakyat Thailand, iaitu 55 lelaki dan seorang wanita, yang kembali ke Thailand dalam penerbangan kedua dari Israel, dua menerima rawatan lanjut kerana cedera terkena tembakan.
Lapan orang lagi didapati mengalami pelbagai tahap trauma mental dan memerlukan penjagaan tambahan sebelum mereka dibenarkan pulang, menurut Bangkok Post.



