KUCHING: Jabatan Muzium Sarawak mendapat pujian atas kejayaan membawa pameran jelajah antarabangsa terkenal iaitu Muzium Bulan ke negeri ini.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, muzium tersebut menjelajah ke seluruh dunia dan ini merupakan persembahan pertama di Malaysia serta pameran jelajah antarabangsa pertama di Muzium Budaya Borneo.
Menariknya, pameran tersebut mempersembahkan replika bulan berukuran tujuh meter diameter dan pada skala anggaran 1:500,000 setiap sentimeter berdasarkan imej terperinci daripada Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) permukaan bulan, merupakan karya Luke Jerram yang berasal dari United Kingdom.
Replika bulan dinyalakan menggunakan lampu dari bahagian dalam pada permukaan sfera seperti yang diperincikan oleh agensi NASA yang mewakili lima kilometer permukaan bulan.
“Pameran antarabangsa berprofil tinggi seperti ini akan membantu dalam meningkatkan reputasi Muzium Budaya Borneo sebagai muzium bertaraf dunia.
Pameran ini sangat mengagumkan dan membuktikan kuasa luar biasa imaginasi dan kreativiti manusia,” katanya ketika berucap merasmikan pelancaran Muzium Bulan kelmarin.
Pelancaran rasmi pelancaran itu turut menampilkan angkasawan pertama Malaysia, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Al Masrie Sheikh Mustapha yang menyampaikan ceramah bertajuk ‘Journey to Space’.
Abdul Karim berkata, pameran Muzium Bulan bertujuan untuk memberi inspirasi dan mendidik pengunjung mengenai bulan, sejarahnya dan kepentingan kepada budaya di seluruh dunia serta planet ini.
Katanya, pameran itu juga bertujuan mempromosikan pendidikan sains dan teknologi dengan menyemai rasa kagum kepada pengunjung melalui paparan model bulan tersebut.
“Pameran ini adalah bukti sebenar komitmen untuk memberi inspirasi dan menaikkan semangat kita semua melalui kuasa seni dan sains.
Ia juga sebagai peringatan tentang keluasan dan keindahan alam semesta dan hakikat bahawa kita semua berhubung dan berkongsi rumah yang sama,” katanya.
Sementara itu, Dr Sheikh Muszaphar menyuarakan harapan agar pameran jelajah antarabangsa dan Muzium Bulan ini dapat mencetuskan minat dalam sains terutamanya untuk anak muda di Sarawak.
Beliau turut memuji Kerajaan Sarawak kerana memainkan peranan dalam memupuk minat pelajar di negeri ini agar lebih cenderung dalam pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) melalui pelbagai inisiatif.
“Dengan adanya pameran ini, saya berharap Jabatan Muzium Sarawak akan tampil dan melakukan banyak aktiviti bersama kanak-kanak yang berada di sekolah terutamanya bagi merangsang minat mereka untuk menjadi doktor, saintis dan jurutera,” katanya ketika ditemui pemberita semasa majlis yang sama.
Menyentuh mengenai perkembangan inisiatif menghantar angkasawan kedua pada tahun 2030, beliau berkata, pusingan pemilihan akan diadakan pada tahun 2025 atau 2026.
Katanya, inisiatif di bawah pelan tindakan Agensi Angkasa Negara Malaysia itu bertujuan menghantar angkasawati atau angkasawan wanita pertama negara ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).
“Setakat ini, kira-kira 500 orang naik ke angkasa lepas dan daripada jumlah itu, hanya 10 peratus adalah wanita. Ini kerana, masih wujud persepsi bahawa wanita terlalu emosi, tetapi secara peribadi, saya percaya ini tidak sepatutnya berlaku. “Malah, wanita lebih mahir melakukan ‘multitasking’ berbanding lelaki.
Selain itu, rangka tindakan adalah untuk mencari angkasawati dan saya berharap dia berasal dari Sarawak,” ujarnya.
Pada masa sama, beliau turut berharap Malaysia mempunyai kestabilan politik dan kerajaan yang progresif kerana ia mendorong negara ini mencapai komitmennya kepada angkasawan kedua pada tahun 2030.
Sehubungan itu, Muzium Bulan dibuka kepada orang ramai dari 17 Jun hingga 5 Ogos setiap hari dari jam 9 pagi hingga 4.45 petang. Pengunjung digalakkan untuk merebut peluang unik ini melihat replika bulan secara terperinci.



