ARTIKEL

Lebuh India yang semakin sepi

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

LEBUH INDIA? Siapa yang tidak mengenalinya dan sebut India Street – pasti pelanggan setianya begitu mudah membayangkan kesibukan deretan kedai yang kebanyakannya menjual tekstil terutamanya pada bulan Ramadan dan Aidilfitri.

Ini kerana Lebuh India menjadi lokasi tumpuan pelbagai kelas penduduk sekitar Kuching – daripada penduduk B40 hingga kelas teratas – berkumpul di sini atas tujuan yang sama – membeli tekstil yang bermutu tinggi.

Sejarah Lebuh India bermula ketika pemerintahan lebih 100 tahun Brooke memerintah Sarawak.

Sekitar tahun 1911, Sarawak menerima kedatangan masyarakat India Muslim secara beramai-ramai.

Pada ketika itu, Rajah Charles Brooke giat mencorakkan Sarawak menjadi acuan hub perniagaan di rantau Borneo.

Ketika inilah Sarawak membuka pintu kepada peniaga-peniaga India beragama Islam yang membuka kedai-kedai tekstil termasuk rempah ratus.

Dahulu namanya digelar Jalan Keling – merujuk kepada dialek Cina Hakka – yang bermaksud masyarakat India. Penukaran namanya daripada Jalan Keling ke India Street hanyalah berlaku pada 1928 selepas Rajah Charles Brooke menerima cadangan daripada peniaga-peniaga berketurunan India pada ketika itu.

Sehingga sebelum pandemik Covid-19, ia berjaya mengekalkan dirinya sebagai lokasi tumpuan umum.

Namun gelaran itu tidak kekal kerana Perintah Kawalan Pergerakan mencabut nyawa Lebuh India hingga menjadi deretan kedai yang sepi malah hampir mati.

“Kami terpaksa menutup semua kedai sepanjang PKP sehingga PKP Bersyarat. Ia memberi tamparan hebat kerana kami kehilangan hampir 70 peratus pelanggan,” kata pemilik Merjiah Trading, Amirul Abdul Karim, 32. Amirul menjelaskan, ketika pascaCovid-19 kini – Lebuh India semakin suram mungkin kerana pelanggan masih takut untuk keluar rumah.

“Ada yang datang tetapi sedikit dan boleh dibilang dengan jari.

“Perniagaan tekstil paling terjejas dan sangat perlahan berbanding peniaga baju pasang siap dan makanan,” katanya.

Dari segi logiknya, siapa yang hendak membeli kain ketika pascapandemik?

Jika pun terjual, pelanggan pula akan sukar mencari tukang jahit.

Apatah lagi ketika ini, kebanyakan pengunjung Lebuh India daripada pelbagai golongan – sudah pasti ada yang kehilangan kerja.

Begitu juga dengan seorang pemilik perniagaan tekstil, Abdul Rahim Abdullah, 55, yang mengakui, pendapatan mereka sangat terjejas kerana tiada pendapatan masuk sedangkan mereka terpaksa membayar bil dan membeli barang keperluan untuk rumah.

Katanya, walaupun pembukaan kedai dibenarkan semula, ketakutan terhadap Covid-19 mempengaruhi kuasa beli pelanggan kerana mereka hanya akan membeli barang keperluan harian.

Beliau berkongsi keprihatinan terhadap perniagaan mereka sekiranya kes Covid-19 meningkat lagi di Sarawak.

“Sejujurnya, itu membimbangkan kerana sebelum ini kita harus menghentikan operasi perniagaan kita.

“Kali ini jika masih berlanjutan, ia mungkin benar-benar menjejaskan perniagaan kami di sini.

“Saya terpaksa mengeluarkan wang simpanan saya untuk membantu keperluan saya.

“Jadi keadaan ini sangat sukar tambahan jika benar gelombang kedua berlaku, sudah pasti kami tutup perniagaan ini,” katanya.

Bagaimanapun, peniaga diberi kelonggaran untuk tidak membayar sewa selama dua bulan.

Namun ia tidak akan mengubah persepsi masyarakat untuk senang-senang melangkah kembali ke sini selagi Covid-19 berlaku.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU