KUCHING: Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Seri Lee Kim Shin, menggesa Kerajaan Persekutuan mempercepat pelaksanaan projek pemulihan Empangan Sungai Sarawak bernilai RM150 juta bagi menangani masalah hakisan dasar sungai di kawasan berkenaan.
Projek itu telah tertangguh agak lama walaupun peruntukan bagi kerja pemulihan berkenaan sudah diumumkan Kerajaan Persekutuan.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja ke Empangan Sungai Sarawak, di sini, Rabu lalu.

Dalam lawatan itu, beliau menerima taklimat daripada Lembaga Sungai-Sungai Sarawak mengenai status cadangan kerja pemulihan hakisan dasar sungai serta beberapa projek lain yang sedang dan akan dilaksanakan di kawasan berkenaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 13 Mac lalu mengumumkan peruntukan Kerajaan Persekutuan sebanyak RM150 juta bagi kerja pemulihan hakisan di Empangan Sungai Sarawak.
Susulan pengumuman itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dipersetujui untuk mengambil alih sebagai agensi pelaksana, manakala peruntukan berkenaan akan disalurkan melalui JPS Malaysia.
Cadangan terkini kerja pemulihan itu kini dikemukakan JPS Sarawak kepada JPS Malaysia untuk pertimbangan dan kelulusan.
Lee berkata projek berkenaan penting bagi memastikan Empangan Sungai Sarawak terus beroperasi dengan selamat dan berkesan.
Beliau berkata empangan berkenaan merupakan infrastruktur penting bagi Kuching dan kawasan sekitarnya, khususnya dalam aspek mitigasi banjir dan pengurusan air.
Sehubungan itu, katanya, keselamatan serta kebolehpercayaan operasi empangan berkenaan perlu terus diberi keutamaan.
Empangan Sungai Sarawak mula beroperasi pada 1 Disember 1997 sebagai sebahagian daripada Skim Pengawalan Sungai Sarawak, iaitu inisiatif utama bagi mitigasi banjir dan pengurusan air di Kuching serta kawasan sekitarnya.
Empangan itu mempunyai lima pintu radial, sebuah kunci kapal navigasi dan jambatan empat lorong.



