KUCHING: Legasi pendidikan selama 144 tahun yang diasaskan di atas tanah pemberian Rajah Sarawak, Sir Charles Brooke terus diperkukuh apabila Blok Sambungan Sekolah Swasta St. Joseph dirasmikan sebagai mercu tanda baharu dalam usaha melahirkan generasi pemimpin masa depan Sarawak.
Uskup Agung Kuching, Archbishop Datuk Dr Simon Poh berkata, pembinaan blok baharu itu bukan sekadar menambah baik kemudahan fizikal, malah meneruskan warisan pendidikan holistik yang menjadi tunjang Keluarga Sekolah St. Joseph sejak penubuhannya.
Menurut beliau, tanah seluas kira-kira 10 ekar yang menjadi tapak sekolah itu dihadiahkan oleh Sir Charles Brooke kepada paderi Mill Hill dari United Kingdom yang tiba di Tebingan Kuching pada 10 Julai 1881 sebelum sekolah pertama dibina pada 1882.
“Daripada sebuah bangunan kayu beratap nipah yang dibina oleh paderi Mill Hill pada 1882, kemudian dikembangkan oleh La Salle Brothers pada 1950 dan kini diteruskan oleh Jesuit sejak penubuhan Sekolah Swasta St. Joseph pada 2012, semangat untuk menyediakan pendidikan holistik tidak pernah berubah.
“Legasi ini diteruskan oleh Keluarga Sekolah St. Joseph yang merangkumi SMK St. Joseph, Sekolah Swasta St. Joseph dan Sekolah Antarabangsa St. Joseph dalam melahirkan pemimpin untuk Sarawak,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Blok Sambungan Sekolah Swasta St. Joseph di sini, hari ini.
Simon berkata, Sekolah Swasta St. Joseph yang bermula dengan hanya 150 pelajar pada 2012 kini berkembang kepada kira-kira 1,600 pelajar di peringkat rendah dan menengah, manakala Sekolah Antarabangsa St. Joseph menyertai keluarga sekolah itu pada 2017.
Katanya, ketiga-tiga institusi tersebut berkongsi lencana sekolah yang sama, lagu sekolah yang sama serta semangat Josephian yang menjadi identiti sejak lebih satu abad lalu.

Menurut beliau, pertambahan jumlah pelajar serta perkembangan aktiviti akademik dan kokurikulum menjadikan pembinaan blok sambungan itu satu keperluan mendesak.
“Selain bilik darjah, sekolah kini memerlukan ruang bagi seni persembahan, pancaragam, orkestra, ensembel string, makmal, robotik serta pelbagai aktiviti kokurikulum yang semakin berkembang.
“Sebab itu perancangan membina blok sambungan ini dilaksanakan dan hari ini kita menyaksikan kemudahan tersebut siap sepenuhnya,” katanya.
Mengimbau kenangan sebagai bekas pelajar sekolah itu dari Tahun Satu hingga Tingkatan Enam Atas antara 1970 hingga 1982, beliau berkata sekolah bukan sekadar tempat menimba ilmu, malah menjadi medan membina persahabatan yang berkekalan sepanjang hayat.
Beliau turut berkongsi nostalgia bermain bola keranjang sebelum kelas bermula serta bermain guli pada waktu rehat yang menurutnya mencerminkan kehidupan pelajar yang lebih sederhana tetapi penuh nilai persahabatan.
“Sekolah membina persahabatan yang berkekalan sepanjang hayat. Di sinilah kita belajar mengenai tanggungjawab, kepimpinan, kerja berpasukan, saling mendengar, bekerjasama dan menyokong antara satu sama lain.
“Sekolah juga membentuk nilai hormat-menghormati, integriti, ketabahan, kreativiti serta menggalakkan pelajar menyumbang kembali kepada masyarakat,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata lobi blok baharu tersebut dinamakan sebagai Galeri Datuk Polycarp Sim sebagai menghargai jasa tokoh pendidik berkenaan yang pernah mengajar di St. Joseph dan banyak menyumbang kepada pembangunan pendidikan di Sarawak.
Menurutnya, Datuk Polycarp Sim turut pernah menjadi guru tuisyen kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Premier dan Kerajaan Sarawak atas sokongan berterusan terhadap Keluarga Sekolah St. Joseph, termasuk pembiayaan kerja pemulihan bangunan bersejarah SMK St. Joseph serta peruntukan RM5 juta bagi mempercepatkan pembinaan blok sambungan tersebut.
Katanya, blok baharu itu kini dilengkapi dewan serbaguna, bilik muzik, studio tarian, pusat pembelajaran pelbagai guna, makmal, bilik darjah pintar berasaskan STEM, perpustakaan yang diperluas, Galeri Datuk Polycarp Sim, kafeteria yang lebih luas, trek olahraga 100 meter serta tempat letak kereta yang mampu menempatkan lebih daripada 76 kenderaan.
“Semuanya dibina untuk satu tujuan, iaitu memberi manfaat kepada rakyat Sarawak dan menyediakan ruang pembelajaran terbaik kepada generasi muda yang bakal menyumbang kepada pembangunan negeri ini.
“Kami komited menyediakan pendidikan berkualiti dengan memberi penekanan kepada bidang STEM dan seni persembahan, di samping menyemai identiti Sarawak, keharmonian, keamanan serta semangat perpaduan dalam kalangan anak-anak Sarawak,” katanya.






