ARTIKEL

Legend Universal raih lima mahkota

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

DELEGASI Legend Universal Beauty Pageant sekali lagi mencipta sejarah gemilang di pentas antarabangsa apabila berjaya membawa pulang lima mahkota utama kemenangan serta tiga gelaran tambahan pada pertandingan ratu cantik berprestij World Queen International 2025 yang berlangsung di Taiwan barubaru ini.

Delegasi ini diketuai oleh Pengasas Legend Universal, Maggie Leong, bersama Pengarah Antarabangsa Legend Universal, Sangeet Gill dan Sarah Albert sebagai pengurus bersama.

Turut menyertai pasukan ialah Pengarah Nasional Borneo, Kimi Tomas, yang memainkan peranan penting dalam memastikan kejayaan pasukan tersebut.

Kehadiran pasukan Legend Universal nyata mencuri tumpuan apabila mereka menampilkan keanggunan, karisma dan profesionalisme yang tinggi.

Lebih membanggakan, pertandingan ini turut meraikan keunikan budaya serta kecantikan wanita daripada pelbagai lapisan usia, merangkumi peserta berumur antara 20-an hingga 60-an.

Sepanjang berlangsungnya World Queen International 2025 di Taiwan, para peserta dari pelbagai negara menikmati siri aktiviti berimpak tinggi yang bukan sahaja menonjolkan kecantikan tetapi juga memperkukuh hubungan diplomasi budaya antara negara.

Antara program menarik yang dijalankan termasuk majlis makan malam di kapal layar, majlis makan malam dan pertukaran budaya, pertukaran cenderamata antara negara peserta, lawatan bandar di Tainan ke pelbagai tarikan pelancongan.

Selain itu, mereka turut menikmati hidangan tradisional Taiwan, upacara pemakaian selempang, sesi temu bual bersama juri mengenai advokasi dan misi peserta, pertunjukan fesyen Cheongsam, pertandingan busana tradisional nasional, serta sesi gaun malam.

Aktiviti-aktiviti ini bukan sahaja menyerlahkan keanggunan para peserta, tetapi turut memperkukuh semangat perpaduan dan persefahaman budaya antara negara yang mengambil bahagian.

Antara kejayaan paling membanggakan ialah pencapaian Mrs Borneo, Emmy Manggun, yang berjaya dinobatkan sebagai Naib Johan (1st Runner-Up) dalam kategori Mrs Classic, iaitu satu pengiktirafan besar buat Borneo di peringkat global.

Kejayaan ini hadir di bawah bimbingan dan pengurusan Kimi Tomas, yang memberikan sepenuh komitmen dan sokongan kepada wakilnya sejak awal persiapan hingga ke malam kemenangan.

Mrs Borneo turut menerima sokongan padu daripada Datuk Joanna Kitingan, yang berperanan sebagai penasihat serta penyokong utama dalam misi membawa nama Sabah dan Borneo ke pentas dunia. Menurut Kimi Tomas, kemenangan ini merupakan kebanggaan besar bukan sahaja untuk Borneo tetapi juga untuk Malaysia secara keseluruhannya.

“Kemenangan Mrs Borneo, Emmy Manggun sebagai Naib Johan dalam kategori Mrs Classic di Taiwan adalah satu kebanggaan besar buat Borneo dan Malaysia.

“Beliau bukan sahaja membawa nama Sabah dan etnik Murut ke pentas antarabangsa, tetapi juga membuktikan bahawa wanita Borneo memiliki keberanian, keanggunan dan keteguhan yang mampu menawan hati dunia.

“Saya amat berterima kasih kepada organisasi World Queen International atas jemputan yang memperkukuh persahabatan antara Borneo dengan Taiwan, serta kepada Maggie Leong dan seluruh pasukan Legend Universal atas bimbingan, persiapan dan semangat kerja berpasukan yang luar biasa sepanjang pertandingan ini,” katanya kepada Suara Sarawak.

Kejayaan ini membuktikan bahawa kecantikan sebenar datang daripada keyakinan, budaya dan hati yang berani.

“Semoga pencapaian ini menjadi inspirasi kepada lebih ramai wanita di Borneo untuk melangkah keluar dan bersinar di pentas dunia,” ujar beliau.

Kimi turut menzahirkan penghargaan atas sambutan mesra yang diterima oleh pasukan Malaysia sepanjang berada di Taiwan.

“Kami amat berterima kasih atas layanan baik daripada pihak penganjur di Taiwan.

“Pada masa yang sama, kami juga mengalu-alukan kedatangan delegasi Taiwan dan negara lain ke Borneo, terutamanya ke negeri kesayangan saya, Sarawak Bumi Kenyalang,” tambahnya dengan penuh semangat.

Menariknya, Kimi memberitahu bahawa sesi Talent Night menjadi pentas istimewa bagi para peserta untuk menyerlahkan bakat masingmasing melalui persembahan yang berteraskan tradisi dan identiti budaya sendiri.

Dalam suasana penuh semangat dan warna-warni, para peserta menampilkan pelbagai bentuk persembahan seperti nyanyian tradisional, tarian etnik, puisi berirama serta persembahan alat muzik warisan yang mencerminkan kekayaan budaya pelbagai kaum di negara ini.

Program ini bukan sahaja menghiburkan tetapi turut menjadi wadah untuk memperkukuh semangat perpaduan serta memupuk rasa bangga terhadap warisan seni dan budaya tempatan yang terus subur dalam jiwa setiap peserta dan penonton.

Kejayaan Legend Universal di Taiwan bukan sekadar kemenangan dalam dunia ratu cantik, tetapi menjadi simbol kekuatan wanita, keindahan budaya dan perpaduan antarabangsa.

Dengan semangat dan dedikasi pasukan yang tinggi, organisasi ini terus mengangkat nama Malaysia dan Borneo di persada dunia, sekali gus membuktikan kecantikan sejati bukan hanya terletak pada rupa, tetapi juga pada semangat, keberanian dan keaslian budaya yang dibawa.

BERITA LAIN

ANZALNA NASIR titip doa buat AMIRA

Pelakon Anzalna Nasir turut menitipkan ucapan istimewa sempena ulang tahun kelahiran rakan baiknya, pelakon dan penyanyi Amira Othman. Menerusi perkongsian di Instagram Stories, Anzalna meluahkan

BERITA TERBARU