KUCHING: Persatuan Seni Kreatif Sifar Sarawak (SIFAR) bakal mementaskan Teater Muzikal Kesuma Santubong, sebuah karya yang menjanjikan pengembaraan emosi selain menonjolkan kekayaan seni dan budaya Sarawak.
Pementasan tersebut dijadualkan berlangsung di Balai Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak pada 27 dan 28 Disember ini, bermula jam 8 malam.
Karya arahan Jamshari Saili itu bakal mengangkat semula legenda Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang menerusi pendekatan kontemporari, sekali gus membawa penonton menghayati kisah rakyat yang sarat dengan pengajaran serta nilai murni bagi semua lapisan masyarakat.
Menurut SIFAR, pementasan kali ini menampilkan kelainan daripada aspek muzik apabila bukan sahaja mengangkat lagu rakyat Sarawak yang kian dilupakan, malah turut memperkenalkan gubahan baharu hasil nukilan bakat muda tempatan, Fitri Jeff.
“Kami ingin memastikan khazanah lagu rakyat Sarawak tidak hilang ditelan zaman.
“Dengan sentuhan segar Fitri Jeff, elemen tradisional dan kontemporari digabungkan supaya karya ini lebih dekat di hati penonton moden tanpa mengabaikan nilai estetika sejarahnya,” kata jurucakap SIFAR dalam kenyataan hari ini.
Gabungan melodi puitis dan penceritaan mendalam itu bertujuan menyuntik nafas baharu kepada legenda berkenaan dengan sajian vokal mantap serta susunan muzik yang menyentuh jiwa.
Pengerusi SIFAR, Dr. Suffian Jalet sebelum ini menyatakan bahawa kolaborasi bersama DBP Cawangan Sarawak serta sokongan kerajaan negeri melalui Majlis Seni Sarawak (MSS) adalah pemacu utama dalam menyuburkan aktiviti seni pentas tempatan.
Ditubuhkan secara rasmi pada 2006, SIFAR kekal aktif memartabatkan seni budaya Sarawak selain komited dalam mencungkil bakat baharu.
Sehingga kini, persatuan tersebut telah menghasilkan lebih 20 naskhah teater dan pernah merangkul gelaran Johan Festival Teater Malaysia Peringkat Sarawak sebanyak empat kali serta peringkat kebangsaan sebanyak dua kali.
Pementasan ini terbuka kepada orang ramai secara percuma dan penonton dinasihatkan hadir lebih awal memandangkan kapasiti tempat duduk adalah terhad.
Maklumat lanjut mengenai aktiviti SIFAR boleh didapati menerusi laman sosial rasmi Persatuan Seni Kreatif Sifar Sarawak.





