IPOH: Polis menahan seorang lelaki tempatan dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Teluk Saga, dekat Kampung Gajah, Khamis lepas kerana disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dan pengedaran dadah.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah Superintenden Hafezul Helmi Hamzah berkata lelaki berusia 34 tahun itu ditahan kira-kira 9.30 malam oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak susulan maklumat diterima.
Pemeriksaan menemukan sembilan peket heroin seberat 146.33 gram (g), enam peket methamphetamine seberat 24.7g dan 17 keping keranjang aluminium mengandungi 170 pil disyaki Erimin 5 seberat 53.38g.
Turut dirampas 41 peket plastik bergambar kartun mengandungi satu kartrij vape berisi cecair disyaki mengandungi ketamin seberat 360.8g dengan anggaran isi padu 123 mililiter.
Nilai keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan RM29,991.50, selain sebuah Proton Waja, motosikal Honda RS 150 dan wang tunai RM3,372.
Suspek yang didapati positif methamphetamine direman sehingga 13 Ogos, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 seperti dilapor Bernama.



