ARTIKEL

Lelaki tempatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Sarikei atas lima pertuduhan, semalam. | FB IPD Matu Daro

Lelaki 44 tahun nafi lima pertuduhan curi komponen pengorek, miliki senjata api

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MATU: Seorang lelaki tempatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Sarikei atas lima pertuduhan berkaitan mencuri komponen jentera pengorek, memiliki senjata berbahaya serta memiliki senjata api dan peluru tanpa lesen di daerah Matu.

Menurut Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, tertuduh, 44, didakwa atas pertuduhan pertama mengikut Seksyen 379A(1) Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama, kerana mencuri komponen jentera pengorek milik New Hope Construction Sdn. Bhd. bersama dua individu lain.

“Komponen lain yang terlibat, satu unit bateri jenama Komasu, satu unit bateri jenama Yokobatt MF serta dua unit gear sprocket jentera pengorek berkenaan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook, hari ini.

Antara barang milik tertuduh yang dirampas. | FB IPD Matu Daro

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 7(1)(a) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 kerana memiliki sebilah pisau yang diubah suai menyerupai kerambit tanpa tujuan yang sah.

Pertuduhan ketiga pula mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 (Akta 206) kerana memiliki selaras senapang angin jenama FX Airguns, model Ardian Sport berkaliber .177/4.5 milimeter yang dilengkapi alat bidik teleskopik tanpa lesen atau permit yang sah.

Dua lagi pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 (Akta 206), masing-masing kerana memiliki selaras senapang buatan sendiri dan sebutir peluru hidup berwarna hijau berlabel Clever Mirage 12 Bore tanpa lesen atau permit yang sah.

“Tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap kesemua lima pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Syarifah Azura Wan Ali.

“Mahkamah menawarkan wang jaminan keseluruhan berjumlah RM12,000 bagi kesemua pertuduhan dan tertuduh telah membayar wang jaminan tersebut,” jelasnya.

Tambahnya, kes berkenaan ditetapkan untuk pengurusan kes praperbicaraan pada 12 November 2026 di Mahkamah Sesyen Sarikei.

BERITA LAIN

Cubaan seludup rokok di Serikin gagal

KUCHING: Cubaan menyeludup rokok ke Indonesia melalui laluan haram di Serikin berjaya digagalkan Tentera Darat Malaysia (TDM) dengan nilai keseluruhan rampasan mencecah RM194,850, awal pagi

BERITA TERBARU