KUCHING: Seorang lelaki tempatan yang mempunyai rekod jenayah cabul sekali lagi dihukum penjara selepas mengugut hendak membunuh saudaranya dengan parang kerana berang ditegur membuang sampah dan sisa bunga di bawah rumah mangsa.
Eric, 54, dijatuhi hukuman penjara seminggu dan denda RM5,000 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Nureina Syafika Mohd Najib.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa sengaja mengeluarkan kata-kata ugutan bunuh terhadap seorang lelaki berusia 41 tahun.
Dia melakukan kesalahan itu di sebuah kampung di Jalan Padawan, sekitar jam 9.30 pagi, Sabtu lalu (4 Oktober).
Oleh itu, dia didakwa di bawah Seksyen 503 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 506 Kanun yang sama.
Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara dua bulan sekiranya gagal menjelaskan denda.
Menurut fakta kes, pada hari kejadian, berlaku pertengkaran mulut antara tertuduh dan mangsa.
Punca kejadian berlaku apabila pengadu menegur tertuduh yang membuang sisa sampah dan sisa bunga di kawasan bawah rumah pengadu.
Tertuduh yang berang lalu mengambil sebilah parang dari kenderaannya dan mengeluarkan kata-kata hendak membunuh pengadu.
Kejadian terbabit disaksikan oleh ahli keluarga pengadu dan laporan polis dibuat untuk tindakan lanjut.
Pihak polis membuat tangkapan terhadap tertuduh pada hari yang sama.
Hasil siasatan mendapati tertuduh sengaja mengeluarkan kata-kata ugutan hendak membunuh mangsa menggunakan sebilah parang.
Terdahulu, pada 8 November 2022, tertuduh pernah dikenakan hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret atas kesalahan mencabul seorang wanita berusia 27 tahun.
Dia, seorang pemandu e-hailing, didakwa di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan.
Pendakwaan kes dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Aidil Akmal Sharidan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.



