BAU: Tindakan mencurigakan seorang lelaki yang berhenti di bahu jalan membawa padah apabila dia dicekup polis bersama dadah disyaki jenis syabu dalam satu operasi khas yang dijalankan di Jalan Raya Bau Lama, tengah hari semalam.
Dalam serbuan sekitar jam 12.30 tengah hari itu, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau telah melaksanakan Op Tapis dan menahan seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun yang memandu kereta Proton Saga putih.
Ketua Polis Daerah Bau, DSP Dr. Daram anak Ruer berkata, pemeriksaan terhadap kenderaan suspek menemui sebuah beg tangan berwarna hitam yang mengandungi 14 peket plastik lut sinar berisi ketulan kristal putih dipercayai dadah berbahaya.
“Ujian saringan air kencing turut menunjukkan suspek positif dadah. Jumlah rampasan dianggarkan seberat 13.39 gram dengan nilai pasaran sekitar RM1,300,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Dr. Daram, suspek kini ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 39A(1) serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Permohonan reman telah dikemukakan bagi membantu siasatan lanjut, katanya lagi.
“Kami akan meneruskan usaha membanteras gejala dadah melalui operasi berterusan di kawasan yang dikenal pasti terlibat dengan aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran bahan terlarang itu,” jelasnya.
Beliau turut menyeru orang ramai agar sentiasa menyalurkan maklumat kepada polis bagi membendung penularan gejala dadah yang boleh merosakkan masa depan masyarakat, khususnya generasi muda.


