SIBU: Seorang lelaki tempatan yang memiliki 18 kes lampau berkaitan dadah sebelum ini berisiko untuk dihukum gantung kerana dicekup sekali lagi atas kesalahan yang sama pada malam Khamis.
Ketua Polis Daerah Sibu Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu telah menahan suspek berusia 32 tahun dalam satu serbuan di sebuah rumah di Jalan Ek Dee sekitar jam 7.10 malam.
“Hasil pemeriksaan menjumpai tujuh paket plastik lut sinar berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis Methamphetamine di dalam rumah berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Zulkipli menyatakan, dadah seberat 129.59gm yang dirampas itu bernilai RM12,959.

Beliau juga mendedahkan hasil ujian air kencing ke atas suspek didapati positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.
“Suspek kini ditahan reman selama enam hari bermula hari ini (Jumaat) bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15 (1) (a) 1952,” tegas beliau.
Hukuman bagi kesalahan di bawah Seksyen 39B ADB 1952 boleh dihukum gantung sampai mati, manakala Seksyen 15 (1) (a) 1952 denda tidak melebihi RM5,000 dan penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Manakala, pengawasan selama dua tahun dilakukan di bawah Seksyen 38B ADB 1952.