Lelaki bermotosikal maut merempuh kereta di Mukah

MUKAH: Seorang lelaki dari Kampung Senau Oya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian apabila motosikal yang tunggangnya merempuh sebuah kereta jenis Perodua Bezza di kilometer 13 Jalan Mukah/ Oya (kawasan Sekolah Kebangsaan Dua Sungai) malam Ahad tadi.

Menurut Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintendan Jimmy Panyau, kejadian kira-kira 8.30 malam itu berlaku sewaktu pemandu kereta tersebut pulang dari surau di Kampung Judan menuju ke arah rumahnya di Oya.

“Semasa pemandu tersebut membelok ke arah kanan untuk masuk ke simpang rumahnya, secara tiba-tiba pintu sebelah kanan belakang keretanya telah dilanggar dari arah belakang (arah yang sama) oleh pemandu motosikal tersebut.

“Akibat rempuhan tersebut mangsa Mohammad Suffian Mohd Taupiq 30, cedera parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian selepas disahkan oleh Paramedik Hospital Mukah,” katanya kepada Suara Sarawak.

Tambahnya lagi pemandu kereta tersebut tidak mengalami apa-apa kecederaan, namun kereta yang dinaikinya remuk di bahagian pintu kanan belakang.

“Mayat mangsa dibawa ke rumah mayat Hospital Mukah untuk pemeriksaan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,”katanya.

Suara Sarawak