ARTIKEL

Lelaki cedera terkena tembakan ketika berbasikal

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 42 tahun cedera akibat terkena tembakan semasa berbasikal bersama rakan-rakannya di kawasan yang diwartakan untuk latihan tembakan peluru hidup oleh Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) pada Ahad (15 Jun).

Dalam kenyataan pada Isnin, Pasukan Polis Singapura (SPF) memaklumkan bahawa insiden berlaku sekitar jam 11.40 pagi di kawasan Hutan Simpanan Kawasan Tadahan Air Tengah, antara Empangan Upper Seletar dan Empangan Upper Peirce.

Polis dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh Hospital Universiti Nasional (NUH) selepas mangsa dibawa ke hospital oleh rakan-rakannya untuk mendapatkan rawatan perubatan.

“Sebutir peluru tersangkut pada bahagian kiri bawah belakang tubuh mangsa. Kecederaannya tidak mengancam nyawa dan beliau kini berada dalam keadaan stabil selepas menjalani pembedahan bagi mengeluarkan peluru tersebut,” menurut kenyataan polis.

Siasatan awal mendapati bahawa pada waktu kejadian, SAF sedang menjalankan latihan tembakan peluru hidup di Lapang Sasar Nee Soon, kira-kira 2.3 kilometer dari lokasi insiden.

Sementara itu, Kementerian Pertahanan (MINDEF) memaklumkan bahawa pihak SAF sedang bekerjasama rapat dengan polis dan pihak berkuasa berkaitan bagi menyiasat insiden tersebut dengan lebih lanjut.

“Sebagai langkah berjaga-jaga, semua aktiviti latihan menembak peluru hidup di Lapang Sasar Nee Soon telah digantung,” jelas MINDEF dalam kenyataan berasingan.

MINDEF turut menjelaskan bahawa orang awam dilarang memasuki kawasan yang diwartakan untuk latihan tembakan peluru hidup demi menjamin keselamatan mereka.

Polis juga mengesahkan bahawa kawasan tersebut mempunyai papan tanda amaran larangan masuk tanpa kebenaran.

Siasatan oleh polis dan SAF masih diteruskan, dan buat masa ini tiada unsur jenayah disyaki.— BERNAMA

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

KCFC, KITCHEE TERIKAT 1-1 BABAK PERTAMA

KUCHING: Kuching City FC (KCFC) dan Kitchee SC terikat 1-1 selepas tamat babak pertama aksi Kumpulan H Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) di Stadium Taha