KUCHING: Seorang lelaki tempatan dijatuhi hukuman denda RM1,000 atau sebulan penjara oleh Mahkamah Majistret hari ini kerana menceroboh kawasan rumah seorang warga emas lelaki dengan niat mencuri buah mangga.
Berdasarkan fakta kes, pada 14 Julai lepas sekitar jam 3.45 pagi, di sebuah rumah di Kampung Semariang Jaya, pengadu wanita berusia 31 tahun terdengar bunyi bising di luar rumahnya.
Pemeriksaan mendapati seorang lelaki sedang berada di atas pokok dan mengambil beberapa biji buah mangga.
Pengadu dan suaminya yang berusia 83 tahun kemudian menangkap lelaki tersebut dan menghubungi pihak polis untuk tindakan lanjut.
55 minit kemudian, pihak polis tiba di lokasi kejadian lalu melakukan tangkapan semula terhadap tertuduh, Hamzah Bakeri, 37.
Rampasan barang seperti satu unit tangguk berisi 17 biji buah mangga yang dicuri turut dilakukan.
Hasil siasatan mendapati tertuduh menceroboh masuk ke kawasan rumah pengadu dengan niat mencuri buah mangga.
Hamzah mengaku bersalah atas satu pertuduhan di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang dibacakan di hadapan Majistret Syarifah Fattimah Azura Wan Ali.
Dia didakwa menceroboh masuk rumah seorang warga emas berusia 83 tahun di Kampung Semariang Jaya sekitar jam 3.45 pagi, 14 Julai lepas.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa ASP Arman Ibrahim, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.



