KUCHING: Akibat tidak berpuas hati kerana dia dan teman wanitanya tidak dilayan oleh ibu kandung semasa berada di rumah, seorang lelaki bertindak memecahkan cermin sisi tangga dan pasu bunga ibunya.
Tindakan tersebut membawa padah apabila dia dijatuhi hukuman denda RM2,000 atau penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret hari ini.
Kai, 35, mengaku bersalah atas satu pertuduhan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang dibacakan di hadapan Majistret Nursyaheeqa Nazwa Radzali.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa sengaja melakukan khianat dengan memecahkan cermin sisi tangga dan pasu bunga hingga menyebabkan pengadu mengalami kerugian RM500.
Kesalahan itu dilakukan di kediaman mereka di Jalan Stutong, sekitar jam 7.00 pagi, semalam (18 Jun).
Menurut fakta kes, pengadu yang merupakan ibu kandung tertuduh melaporkan kejadian anaknya memecahkan pasu bunga dan cermin sisi tangga tingkat dua rumahnya kepada pihak polis.
Tangkapan dilakukan ke atas tertuduh pada hari yang sama sekitar jam 11.45 pagi.
Hasil siasatan mendapati tertuduh melakukan khianat terhadap harta benda milik pengadu hingga menyebabkan kerugian RM500.
Punca kejadian adalah kerana tertuduh tidak berpuas hati apabila dia dan teman wanitanya tidak dilayan dengan baik oleh ibunya.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Aidil Akmal Sharidan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.



