KUCHING: Seorang lelaki tempatan dijatuhkan hukuman denda RM2,000 atau penjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret hari ini, kerana sengaja mencederakan kekasihnya dalam satu kejadian tular di media sosial Facebook, awal Julai lalu.
Tertuduh berusia 21 tahun mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Nursyaheeqa Nazwa Radzali.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa sengaja mencederakan seorang remaja perempuan berusia 18 tahun di sebuah bilik sewa di Metrocity Matang, sekitar 8 malam, 3 Julai lalu.
Menurut fakta kes, pada hari kejadian, pengadu bergaduh dengan teman lelakinya kerana salah faham dan masalah peribadi.
Tertuduh bertindak mengheret mangsa ke dalam bilik sewa dan berlaku pergelutan di antara mereka.
Akibat kejadian tersebut pengadu mengalami kecederaan pada lutut dan lengan sebelah kanan.
Laporan polis dibuat oleh pengadu untuk tindakan dan siasatan lanjut. Dia juga menerima rawatan di sebuah hospital.
Terdahulu, pada 4 Julai lalu tular satu hantaran video di media sosial Facebook berkaitan perbuatan seorang lelaki yang mengasari seorang wanita.
Difahamkan, punca pergaduhan kerana tertuduh meminta wang daripada pengadu untuk membeli motosikal.
Manakala, tertuduh mengaku mencederakan mangsa kerana hendak menghalang kekasihnya pergi ke kelab malam.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Aidil Akmal Sharidan.



