ARTIKEL

Lelaki didenda RM500, miliki wang secara tidak sah dalam akaun

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Seorang lelaki tempatan dijatuhi hukuman denda RM500 atau sepuluh hari penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, kerana memiliki wang secara tidak sah di dalam akaun peribadinya berjumlah RM18,180.

Wong Yeak Jun, 28, dari Perak mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Zubaidah Sharkawi.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa mengikut Seksyen 37(1) Ordinan Kesalahan Kecil Sarawak 1958 kerana memiliki wang sebanyak RM18,180 dalam akaun peribadinya dari sebuah bank di Tabuan Stutong, antara 28 Januari hingga 17 Mac 2023.

Jika sabit kesalahan, boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga tiga bulan dan denda RM500.

Menurut fakta kes, pada 12 Ogos 2022, pengadu telah membuat pinjaman wang daripada sebuah syarikat pinjaman wang berlesen yang diiklankan di laman sosial Facebook.

Pengadu meminjam wang sebanyak RM800 tetapi hanya RM500 sahaja dimasukkan ke dalam akaunnya dan membuat pembayaran pada 17 Ogos melalui aplikasi Platinum Fun.

Selepas membuat pinjaman secara dalam talian, pengadu sering menerima tawaran melalui Whatapps berhubung pinjaman peribadi daripada orang-orang berbeza.

Pengadu yang berminat dengan tawaran tersebut telah meminjam sebanyak RM227,007.80 dan membuat pembayaran sebanyak RM312,936.72 ke beberapa akaun berbeza bagi tujuan pembayaran pinjaman.

Oleh kerana tidak mampu membayar hutang berkenaan selepas menerima terlalu banyak faedah termasuk menerima ugutan, pengadu kemudian membuat laporan polis dan seterusnya membawa kepada penahanan tertuduh.

Hasil siasatan mendapati tertuduh telah menerima transaksi bayaran sebanyak sepuluh kali berjumlah RM18,180 daripada mangsa.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Shafiqa Nyaie Ilin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU