KUCHING: Seorang lelaki tempatan dijatuhkan hukuman penjara 13 bulan oleh Mahkamah Majistret hari ini, kerana mencabul adik rakannya ketika tidur, April lalu.
Tertuduh berusia 26 tahun tersebut mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nursyaheeqa Nazwa Radzali.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan, kerana mencabul kehormatan seorang wanita berusia 21 tahun dengan meraba buntut dan pinggang mangsa.
Dia melakukan kesalahan itu di dalam bilik tidur rumah mangsa di sebuah kampung di Petra Jaya, sekitar 5.50 pagi, 22 April lepas.
Menurut fakta kes, pada hari kejadian, pengadu melaporkan kepada pihak polis tentang tertuduh yang mencabulnya ketika tidur dengan meraba buntut dan pinggang.
Semasa kejadian awal pagi tersebut, tertuduh merupakan kawan abang pengadu menyelinap masuk ke bilik tidur mangsa yang tidak berkunci.
Pengadu tersedar dan melihat tertuduh berdiri di tepi katil hadapan pengadu, lalu melarikan diri dari tempat kejadian.
Tangkapan dilakukan ke atas tertuduh pada hari yang sama sekitar 4 petang.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Fauzulutfi Suriani, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.



