ARTIKEL

Tertuduh dibawa keluar dari bilik Mahkamah Sesyen 3 oleh anggota polis.

Lelaki dipenjara 15 tahun, lapan sebatan kerana sengaja datangkan cedera parah

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan lapan sebatan oleh Mahkamah Sesyen hari ini, selepas didapati bersalah kerana sengaja melanggar seorang lelaki menggunakan sebuah kereta di lampu isyarat Taman Desa Wira, tiga tahun lalu.

Hakim Musli Abdul Hamid memutuskan demikian selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah di akhir peringkat pembelaan terhadap Ronald, 39.

Musli ketika menyampaikan hukuman berkata, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira hujahan kedua-dua pihak, berat kesalahan, serta kepentingan awam.

“Berdasarkan kecederaan parah yang dialami mangsa hingga menyebabkan kecacatan kekal, tertuduh dikenakan hukuman penjara 15 tahun dan lapan sebatan.

“Hukuman penjara hendaklah berjalan bermula dari tarikh ditangkap pada 17 Julai 2023.

“Selain itu, berdasarkan Seksyen 426(1)(c)(f) Kanun Tatacara Jenayah dan atas budi bicara mahkamah, tiada pampasan dibayar kepada mangsa memandangkan tertuduh tidak berkemampuan, selain tidak mahu membebankan ibu yang uzur dan adik-beradik yang lain,” katanya.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan cedera parah terhadap seorang lelaki berusia 41 tahun dengan melanggarnya menggunakan kereta.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan lampu isyarat di Taman Desa Wira sekitar jam 9.00 malam, 15 Julai 2023.

Menurut fakta kes, pada hari kejadian sekitar jam 3.00 petang, mangsa dihubungi seorang rakan yang digelar Hafiz untuk mencari isterinya yang bernama Lisa.

Mangsa bersetuju membantu rakannya lalu berjumpa di Matang Jaya sekitar jam 4.00 petang.

Mereka kemudian melihat kereta Lisa diletakkan di hadapan sebuah kedai runcit serbaneka 24 jam sebelum kenderaan itu menuju ke sebuah pusat beli-belah, tempat isteri rakan mangsa dilaporkan tidak hadir bekerja.

Seterusnya, mangsa dan rakannya kembali ke kereta dan menunggu di hadapan sebuah hotel bajet di Jalan Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan sehingga jam 8.00 malam.

Selepas beberapa jam menunggu, mereka melihat seorang lelaki iaitu tertuduh keluar dari lobi hotel lalu masuk ke dalam kereta Lisa.

Pada masa itu, Hafiz cuba mendekati tertuduh untuk bertanya tentang keberadaan isterinya, namun tidak sempat berbuat demikian kerana tertuduh terus memandu pergi.

Mangsa dan rakannya mengekori tertuduh hingga ke Jalan Batu Kawa sehingga berlaku pelanggaran melibatkan kereta mangsa dan kenderaan yang dipandu tertuduh.

Mangsa kemudian keluar dari kereta untuk bercakap dengan tertuduh, namun tertuduh bertindak mengundurkan kenderaannya lalu sengaja melanggar buku lali kaki mangsa sebelum melarikan diri.

Akibat kejadian tersebut, mangsa tidak dapat berdiri lalu dibawa ke hospital untuk menerima rawatan lanjut.

Satu laporan polis telah dibuat oleh mangsa yang membawa kepada penangkapan tertuduh pada 17 Julai 2023.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Chuah Kai Sheng dan Asmawi Nur Haqim Mokhtar, manakala tertuduh diwakili peguam Arthur Liang Dawat.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU