ARTIKEL

Tertuduh dibawa keluar dari Bilik Mahkamah 4 oleh anggota Imigresen.

Lelaki Dipenjara Dua Tahun Angkut Empat Migran ke Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Seorang lelaki tempatan dijatuhkan hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Tinggi hari ini, kerana mengangkut empat orang migran lelaki masuk ke Sarawak, April tahun lalu.

Tertuduh berusia 43 tahun mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Wong Siong Tung.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa di bawah Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007, kerana mengangkut empat orang lelaki warga Indonesia masing-masing berusia 40 hingga 52 tahun.

Dia didakwa mengangkut migran tersebut menggunakan sebuah kereta jenis Perodua Aruz ketika berhenti di sebuah kedai makan, Jalan Datuk Salau, Bau, sekitar 2.32 petang, 19 April 2025

Menurut fakta kes, pada hari kejadian, pengadu merupakan pegawai Imigresen mengetuai pasukannya dalam Ops Serkap di sebuah ladang, melihat sebuah kereta jenis Perodua Aruz dalam keadaan mencurigakan di tempat letak kereta berhadapan sebuah kedai makan.

Pemeriksaan dilakukan mendapati tertuduh yang memandu kenderaan tersebut membawa empat orang warga asing iaitu Marhun, 40, Suhun, 43, Lukmanul, 45, dan Anis, 52.

Berdasarkan carian yang dijalankan oleh Jabatan Imigresen Malaysia, tiada rekod kemasukan kesemua migran terbabit ke negara ini.

Kesemua migran didakwa di bawah Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63, kerana masuk ke negara ini tanpa permit.

Hasil siasatan mendapati tertuduh mengangkut migran menggunakan sebuah kereta.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Kong Siew Chuo, manakala tertuduh diwakili Peguam C.M. Sundram.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU