BELAGA: Seorang lelaki, 56, yang dilaporkan hilang di hilir Sungai Batang Rajang Belaga sejak Ahad lalu ditemui meninggal dunia, semalam.
Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak, mangsa ditemui terapung oleh orang awam semasa operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari kedua.
“Mangsa ditemui di tebing Sungai Batang Rajang berhampiran Rumah Lat Punan Biau, sekitar jam 3.10 petang.
“Lokasi mangsa tersebut ditemui adalah 25 kilometer (KM) dari Giam Tukuk dan 50km dari Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di jeti Uma Badeng Long Dungan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Ujarnya, setelah menerima laporan tersebut, pasukan bomba bergegas ke lokasi yang dilaporkan.
Tiba di lokasi, pihak bomba mengangkat mangsa dan menyerahkannya kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Terdahulu, dilaporkan lelaki tidak balik ke rumah setelah keluar memancing ikan di hilir Sungai Batang Rajang Belaga pada Sabtu lepas, lebih kurang jam 10 malam.
Pihak Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Belaga telah memulakan SAR pada Isnin lalu dengan membahagikan dua pasukan iaitu menggunakan jalan darat dan sungai.
Namun, operasi telah ditanggungkan pada jam 4 petang disebabkan faktor cuaca hujan di lokasi dan disambung ke hari kedua.








