Lelaki dipercayai hilang di sungai semasa tangkap ketam

KUCHING: Seorang lelaki dikenali Wan Kamaruddin Wan Mohammad 30, dikhuatiri hilang berhampiran Sungai Jalan Diplomatik, Isnin lalu setelah isterinya menyedari mangsa tidak pulang ke rumah dan gagal dihubungi sehingga hari ini.

Menurut laporan isteri, pada 8 Julai (Isnin) mangsa sekitar jam 4 petang telah keluar dari rumah menggunakan motosikal untuk menjalankan aktiviti menangkap ketam.

Namun setelah itu mangsa tidak balik ke rumah dan gagal dihubungi sehingga hari ini, lalu si isteri membuat panggilan kecemasan kepada pihak Bomba bagi membantu mencari mangsa.

Menurut Komander Operasi PKPgB Tan Min Chai (Ketua Balai) pihaknya menerima laporan kecemasan pada jam 8.10 pagi tadi dari isteri mangsa.

“Setelah menerima laporan, pihaknya bersedia menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang disertai 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Petra Jaya bersama sebuah Scania dan EMRS ke lokasi kejadian.

“Operasi mencari mangsa telah dijalankan di tebingan sungai yang berpaya di lokasi kejadian dan Pasukan SAR telah membuat pencarian sekitar radius dua kilometer di sepanjang tebingan sungai,” katanya.

Sehingga tengah hari jelasnya , operasi tersebut ditangguhkan sementara kerana berlaku air pasang di lokasi berkenaan dan akan disambung semula setelah air kembali surut.

Operasi pencarian tersebut turut dibantu oleh enam orang awam termasuklah keluarga mangsa.