Lelaki disyaki pecah kedai telefon di Satok dicekup

KUCHING: Seorang lelaki yang dikehendaki polis setelah terlibat kes pecah kedai telefon bimbit di kawasan Satok pada Rabu lalu berjaya diberkas, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching, Supt Merbin Lisa berkata, suspek ditangkap oleh sepasukan Jabatan Siasatan Jenayah Kuching di sebuah pasar raya Matang sekitar jam 8.30 pagi.

Menurutnya, identiti suspek berjaya dikenal pasti hasil risikan pantas pasukan serta bantuan maklumat yang diperolehi daripada Kamera Litar Tertutup (CCTV) di tempat kejadian.

“Hasil siasatan mendapati suspek telah memecah masuk sebuah kedai telefon bimbit dan mencuri dua unit ‘power bank’, tiga unit fon telinga, dan seunit kabel USB.

“Pasukan berjaya menahan suspek serta merampas set pakaian yang digunakannya semasa melakukan jenayah tersebut berdasarkan bukti CCTV di lokasi kejadian,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Susulan itu, katanya, suspek telah ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching untuk tindakan lanjut.

Dedahnya, siasatan lanjut mendapati suspek turut positif dadah jenis Methamphetamine dan mempunyai enam rekod jenayah termasuk tiga kes curi, dua rekod pecah rumah, serta dadah.

Tambahnya, soal siasat lanjut terhadap suspek turut dijalankan bagi mengetahui kedudukan barang curi tersebut.

Tegasnya, kes disasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan, di mana jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara lima tahun atau denda.

Merbin menambah, suspek kini dalam tahanan reman selama lima hari sehingga 2 Julai bagi siasatan lanjut dan mengenal pasti sama ada suspek turut terlibat dalam kes pecah rumah dan curi lain di kawasan Kuching.

Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan agar masyarakat mahupun peniaga untuk memasang CCTV di kawasan premis atau kediaman sebagai alat bantuan menghindari kejadian tersebut daripada berlaku.

“Contohnya, kes ini adalah berpandukan penelitian rakaman CCTV yang ada maka suspek dapat dikenalpasti dan diberkas dalam masa singkat,” ujarnya.