MIRI: Seorang lelaki tempatan berusia 45 tahun ditahan ketika membawa muatan disyaki minyak diesel tanpa sebarang dokumen sah di Jalan Bekenu, Miri pada petang Jumaat.
Tangkapan dilakukan oleh Unit Risikan Marin (URM) Markas Taktikal Pasukan Polis Marin Wilayah 5 Miri sekitar jam 7.00 malam semasa menjalankan Op Taring Landai.
Ketua Polis Daerah Miri, Alexson Naga Chabu, berkata pemeriksaan terhadap lori jenis Hino yang dipandu suspek menemui sebanyak 4,000 liter minyak diesel tanpa dokumen daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Miri.
“Minyak diesel tersebut dianggarkan bernilai RM18,000 manakala keseluruhan nilai rampasan, termasuk lori, dianggarkan berjumlah RM108,000,” katanya.

Menurutnya, tangkapan dilakukan oleh satu pasukan yang terdiri daripada seorang pegawai dan empat anggota yang menjalankan rondaan di kawasan berkenaan.
Katanya, suspek yang gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran kini ditahan untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan semua barang rampasan bersama suspek telah diserahkan kepada KPDN untuk tindakan selanjutnya.



