MUKAH: Seorang buruh kontrak tempatan ditahan polis selepas disyaki mengintai seorang wanita yang sedang menggunakan tandas di Pejabat Kesihatan Bahagian Mukah, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintenden (DSP) Muhamad Rizal Alias berkata, suspek berusia 24 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah.

Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 12.40 tengah hari ketika mangsa yang merupakan kakitangan pejabat berkenaan sedang menggunakan tandas.
“Mangsa kemudian mendongak sebelum ternampak sebuah telefon bimbit berwarna biru muda dihulurkan dari bahagian atas tandas, dipercayai untuk merakam gambarnya,” katanya.
“Menyedari kejadian itu, mangsa menjerit sehingga menyebabkan suspek melarikan diri, manakala rakan sekerjanya turut ternampak lelaki berkenaan berlari menuruni tangga dalam keadaan tergesa-gesa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Rizal berkata, hasil siasatan awal mendapati suspek sedang menjalankan kerja-kerja pembaikan di bangunan berkenaan.
Polis turut merampas sebuah telefon bimbit, sehelai baju berlengan pendek berwarna merah dan hitam serta sehelai seluar jean hitam untuk dijadikan barang kes.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 377D dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan,” katanya.
“Suspek direman selama tiga hari sehingga 16 Oktober ini bagi membantu siasatan,” katanya.
Tambah Rizal, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa menjaga keselamatan dan privasi diri serta segera melaporkan kepada polis sekiranya mengesyaki sebarang perbuatan mencurigakan atau gangguan terhadap keselamatan dan maruah individu.



