Lelaki ditemui maut di celah pokok bakau

KUCHING: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang di Jambatan Sungai Kuap Jalan Kuching-Samarahan ditemui pada pukul 9.46 pagi tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM Sarawak, PgKB I Tiong Ling Hii berkata, mangsa ditemui di celah-celah pokok bakau, dua kilometer dari Jambatan Sungai Kuap.

Menurutnya, mangsa merupakan seorang lelaki berusia 27 tahun ini didapati meninggal dunia.

Terdahulu, pihak bomba berusaha mengesan mangsa yang dikhuatiri hilang di Jambayan Sungai Kuap, semalam.

Bertindak atas laporan yang dibuat oleh ibu mangsa, pasukan daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya serta Batu Lintang dengan kekuatan 10 anggota dikerahkan untuk mencari mangsa.

Difahamkan mangsa yang hilang mempunyai trauma ekoran masalah kesihatan tumor.

Malah, kereta yang digunakan oleh mangsa masih diletakkan di atas jambatan berkenaan ketika operasi mencari dan menyelamat dijalankan.