MIRI: Seorang lelaki ditemui meninggal dunia di sebuah rumah di Promin Jaya, Senadin di sini, semalam.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, bilik kawalan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong telah menerima panggilan daripada Balai Polis Lutong bagi mendapatkan khidmat bantuan membuka pintu rumah tersebut pada jam 7.46 malam.
“Selepas menerima laporan, sepasukan anggota dari BBP Lutong segera dikerahkan ke lokasi kejadian bagi membantu pihak polis.
Setibanya di lokasi kejadian, didapati tiada sebarang operasi dijalankan kerana pintu rumah tersebut telah berjaya dibuka oleh pihak polis.
“Hasil pemeriksaan telah membawa kepada penemuan mayat seorang lelaki berusia 46 tahun,” katanya dalam satu kenyataan.
Jelasnya, mangsa tersebut telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM).
Sehubungan itu, pasukan bomba telah membantu pihak polis mengangkat mayat mangsa masuk ke dalam kenderaan polis.
Bagaimanapun, katanya, punca kematian masih dalam siasatan pihak polis, dan operasi ditamatkan pada jam 9.13 malam.



