Lelaki Filipina maut tertimbus sedalam 10 kaki

BINTULU: Seorang lelaki warga Filipina maut akibat tertimbus tanah runtuh sedalam 10 kaki di Loji Rawatan Air berhampiran Jalan Nyabau, hari ini.

Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak, mangsa dipercayai dihempap runtuhan tanah ketika sedang membuat kerja kimpalan pada paip berukuran empat kaki lilitan sekitar jam 3 petang di lokasi berkenaan.

Jelasnya, sepasukan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat(BBP) Bintulu telah dikerahkan ke lokasi bagi membantu mengeluarkan mangsa sejurus menerima laporan kejadian.

Dedahnya, mangsa dikenali sebagai Perez Antonio Secuya, 41, merupakan warganegara Filipina.

KOREK… Kerja-kerja mengorek semula tanah sedalam 10 kaki dijalankan pihak penguat kuasa bagi mengeluarkan mangsa tertimbus

“Setibanya di lokasi pasukan membuat kerja-kerja mengorek tanah dengan menggunakan jentera Excavator untuk mengeluarkan mangsa.

“Mangsa berjaya dikeluarkan pada jam 4.33 petang dan diserahkan kepada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia(KKM) untuk tindakan lanjut,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, hasil pemeriksaan KKM mendapati mangsa meninggal dunia akibat kejadian sekitar jam 4.40 petang.

Dalam pada itu, operasi mencari dan menyelamat mangsa turut melibatkan anggota daripada Polis Diraja Malaysia(PDRM) dan NIOSH seramai 10 anggota.

Susulan daripada itu, operasi ditamatkan pada jam 4.40 petang setelah memastikan lokasi kejadian dalam keadaan terkawal sepenuhnya.