SRI AMAN: Seorang lelaki berusia 58 tahun yang dilaporkan hilang selepas keluar berburu di kawasan hutan pada Khamis lalu, ditemukan selamat di sebuah pondok di tepi jalan raya di Tanjung Kemiding, Lipat, hari ini.
Mangsa ditemukan penduduk kampung kira-kira 1.5 kilometer dari lokasi pencarian selepas berjaya keluar sendiri dari kawasan hutan.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak menerima makluman mengenai penemuan mangsa kira-kira jam 8.50 pagi.

Menurut Jurucakap JBPM, mangsa dilaporkan tidak pulang ke rumah sejak kira-kira jam 9 pagi, 3 September lalu, selepas keluar ke kawasan hutan untuk berburu.
“Usaha mencari mangsa sebelum itu dijalankan oleh ahli keluarga bersama penduduk rumah panjang di kawasan sekitar, namun gagal menemui mangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Jurucakap menambah, operasi mencari dan menyelamat kemudian diteruskan dengan penglibatan empat anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong, lapan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) Skrang, lapan anggota APM Lubok Antu serta kira-kira 20 penduduk kampung.
Mangsa, katanya, diserahkan kepada ahli keluarga dan pihak polis sebelum dihantar ke Hospital Betong menggunakan ambulans APM untuk mendapatkan pemeriksaan serta rawatan lanjut.
“Operasi SAR ditamatkan pada jam 10 pagi selepas keadaan di sekitar lokasi disahkan selamat dan semua tindakan berkaitan selesai dilaksanakan,” katanya lagi.



