DARO: Seorang lelaki dilaporkan hilang ketika mencari lokan di Sungai Penuai, Kampung Penuai, Pulau Bruit semalam, ditemukan dalam keadaan selamat pagi tadi selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) memasuki hari kedua.
Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Sarawak, mangsa, Mohammad Senawi Gamat, 29, ditemukan pada 8.19 pagi selepas keluar sendiri dari kawasan sungai sebelum pulang ke rumah.
“Mangsa kemudian dibawa ke hospital bagi menjalani pemeriksaan kesihatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Susulan penemuan mangsa dalam keadaan selamat, operasi SAR ditamatkan pada 8.30 pagi.
Terdahulu, mangsa keluar mencari lokan bersama-sama seorang rakannya di Sungai Penuai.
Bagaimanapun, kedua-duanya berpisah ketika menjalankan aktiviti tersebut dengan menggunakan laluan berbeza sebelum mangsa gagal pulang ke rumah.
Bimbang dengan keselamatan anaknya, bapa mangsa membuat laporan polis pada 10.25 malam semalam, sekali gus membawa kepada pelancaran operasi SAR oleh pihak berkuasa.


